Perdana Menteri berkata, Kertas Kabinet akan disiapkan secepat mungkin untuk pertimbangan Jemaah Menteri memandangkan teknologi baharu ini mampu memberi manfaat besar kepada rakyat dengan membanteras ketirisan dalam aspek kewangan.
“Contohnya, kita ambil program AI dari segi percukaian dan kastam, tetapi tidak terjamin dari segi ketirisan ini jika tidak dilaksanakan dengan berkesan serta disekalikan dengan satu nilai kewangan atau keperluan penggunaan blok rantai.
“Saya akan rujuk kepada rakan-rakan Jemaah Menteri. Tetapi ini ialah inovasi yang seperti juga AI akan merombak semula dunia kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media penutup lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu pada Selasa.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata adaptasi teknologi ini perlu dilaksanakan dengan pantas agar negara tidak ketinggalan dan berdepan dengan situasi ditekan arus perubahan.
Jelasnya, bagi tujuan berkenaan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menunjukkan minat untuk bekerjasama. Malah menurutnya lagi, UAE dilihat terkehadapan dalam adaptasi AI dan blok rantai dalam sistem perkhidmatan awam.
“Saya bincang panjang dengan pimpinan Abu Dhabi, termasuk Sheikh Tahnoun bin Zayed Al Nahyan (Pengerusi Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA)) dan Ketua Pegawai Eksekutif Binance, Changpeng Zhao.
“Binance merupakan antara syarikat dengan pegangan mata wang kripto terbesar dunia, sekitar 50 peratus daripada mata wang kripto dengan dana ratusan bilion dolar Amerika Syarikat,” ujarnya.
Ditanya mengenai seberapa segera Kertas Kabinet berkenaan akan dibentangkan, Anwar berkata beliau akan memastikan penyediaan Kertas terbabit melalui segala prosedur yang diperlukan terlebih dahulu dan berharap ia boleh disiapkan tahun ini.