IA debat yang tidak pernah dirancang untuk berlaku.

Donald Trump akan naik ke pentas di Philadelphia pada Selasa malam waktu tempatan untuk berdepan - bukan dengan musuh 'yang diharapkannya' tetapi dengan seorang lawan yang belum pernah dia berdepan dan sukar untuk ditakrifkan, iaitu Kamala Harris.

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) dan Naib Presiden AS itu akan berdebat buat kali pertama pada pukul 9 malam (9 pagi waktu Malaysia, 11 September) sebagai calon presiden bagi parti masing-masing menjelang Pilihan Raya Presiden 2024.

Debat itu, yang 'berisiko tinggi' untuk kedua-duanya dijangka ditonton jutaan orang dan mungkin memberikan kelebihan kepada salah seorang daripada mereka dalam perlumbaan menuju White House.

Perdebatan itu adalah yang pertama antara Trump dan Harris, walaupun Trump pada Jun lalu pernah berdebat dengan Presiden AS, Joe Biden.

Impak perdebatan tersebut, di mana prestasi Biden didakwa buruk telah mencetuskan kritikan daripada parti Demokrat sendiri sehingga membawanya menarik diri daripada bertanding.

Debat ini juga berlaku ketika Harris sedang berada di puncak momentum, didorong oleh Parti Demokrat yang teruja dengan perubahan calon.

.

Kaji selidik nasional menunjukkan Trump yang berusia 78 tahun, ketinggalan di belakang Harris sebanyak lima peratus.

Memetik media antarabangsa, acara itu yang dihoskan oleh ABC akan diadakan dengan peraturan yang sama seperti debat Trump-Biden, dengan mikrofon calon akan dimatikan ketika giliran lawan mereka bercakap.

Kempen Harris berpendapat agar mikrofon dibiarkan aktif sepanjang masa — berharap dapat memprovokasi bekas presiden itu ke dalam gangguan tidak teratur dan menyenangkan, yang telah mencemari prestasinya sebelum ini.

.

Walaupun Trump bersedia untuk bersetuju dengan syarat tersebut tetapi pasukannya  bertekad untuk memastikan dia fokus dan berkeras mengekalkan peraturan asal.

Memetik laporan Reuters, penganalisis politik Charlie Sykes berpandangan pertarungan di Philadelphia adalah peluang untuk Harris menggariskan keutamaan dan menunjukkan keberaniannya terhadap pesaing yang telah merendahkan kecerdasannya serta menyebabkan dia berdepan serangan perkauman dan seksis.

"Tetapi saya rasa ini akan menjadi ujian bagi Harris  - bagaimana dia akan menangani penghinaan? Bagaimana dia akan menangani buli daripada Trump? Dan saya rasa kedua-dua calon akan cuba untuk mengganggu antara satu sama lain.

"Saya rasa Trump akan cuba membuat Harris marah atau kurang ceria, untuk mengganggu suasananya. Dan, tentu saja, Harris didorong untuk membiarkan Trump menjadi Trump," ujarnya.

Harris, 59, adalah seorang pendakwa raya dan bekas Peguam Negara California, manakala Trump merupakan presiden antara 2017 dan 2021, ahli perniagaan serta personaliti media.

Harris akan menjadi wanita pertama menggalas jawatan Presiden AS jika dia dipilih calon parti itu dan menang dalam pilihan raya 5 November depan.

Tetapi siapa yang akan diberi mandat?