Dua puluh penumpang terkorban dalam satu kejadian pesawat terhempas di kawasan pergunungan di timur Switzerland pada Sabtu.

Nahas berlaku ketika pesawat vintaj dari zaman Perang Dunia Kedua itu sedang membawa penumpang melawat kawasan sekitar.

Pesawat jenis Junkers Ju-52 itu milik syarikat penerbangan Switzerland, JU-Air.

Ia membawa 17 penumpang dan tiga anak kapal ketika berlepas pada tengah hari Sabtu.

Punca nahas belum dapat dikenal pasti.



"Punca berlakunya situasi ini masih belum dapat dipastikan. Apa yang boleh kami sahkan, tiada berlakunya pelanggaran dengan pesawat lain, atau sebarang halangan, atau kabel, sebelum ia terhempas," kata Daniel Knecht, ketua perkhidmatan siasatan Pihak Berkuasa Siasatan Keselamatan Switzerland.

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas JU-Air Kurt Waldmeier memaklumkan, pesawat itu baru diselenggara.

Pesawat berkenaan dilaporkan tidak mempunyai kotak hitam dan lokasi nahas di kawasan pedalaman dijangka menyebabkan siasatan nahas mengambil masa panjang.

Pesawat terbabit dibuat pada 1939 dan merupakan milik Tentera Udara Switzerland, namun khidmatnya dihentikan pada 1981.

Ia bagaimanapun digunakan semula untuk tujuan pelancongan.

Susulan nahas itu, JU-Air menggantung dua lagi operasi pesawat jenis sama.