CHANGCHUN (China): Seorang pesakit COVID-19 berusia 106-tahun sembuh dan dibenarkan pulang dari hospital di Changchun, ibu negeri wilayah timur laut Jilin di China pada Sabtu, kata pihak berkuasa tempatan.

Pesakit itu dengan nama keluarga Li merupakan yang tertua untuk sembuh dan dibenarkan pulang dari hospital sejak wabak terbaharu tercetus di Jilin, lapor agensi berita Xinhua.

Wanita itu disahkan mengalami COVID-19 dan dimasukkan ke First Bethune Hospital di bawah kelolaan Universiti Jilin pada 14 April. Selepas menjalani pemeriksaan menyeluruh beliau didapati turut mengalami masalah kesihatan lain, termasuk radang otak.

Sejak 13 April lepas, hospital itu telah membuka satu ruang rawatan yang mengkhusus dalam merawat golongan istimewa, warga emas dan mereka yang tidak mampu menjaga diri.

-- BERNAMA