Persiapan akhir kini giat dijalankan bagi memastikan majlis angkat sumpah presiden Barack Obama yang akan berlangsung Isnin di Washington berjalan seperti yang dirancang.

Bangunan-bangunan kerajaan dan hotel di sekitar laluan perarakan dihiasi dengan kain rentang berwarna merah, putih dan biru.

Sementara, khemah-khemah putih, treler dan penjana turut didirikan di sepanjang laluan menuju ke kawasan acara.

Biarpun suasana dan kehangatan menjelang majlis angkat sumpah Obama kali ini sedikit suram berbanding 2009, namun kebanyakan rakyat Amerika menanti-nantikan peristiwa bersejarah itu.

Bagi seorang rakyat Amerika, Jason Moody dari selatan Virginia, beliau tidak mahu terlepas peluang menyaksikan majlis yang penuh bersejarah itu.

Bagi Francis Blackman yang berasal dari Florida pula, beliau mahu anaknya menyaksikan dengan mata sendiri majlis angkat sumpah tersebut selain menghargai kemajuan yang dicapai oleh Amerika dalam tempoh beberapa dekad lalu.

Tatkala majlis angkat sumpah akan dilangsungkan kurang daripada 24 jam dari sekarang, Presiden Obama bersama isteri dan dua anak perempuannya menghabiskan masa di Sekolah Rendah Burrville melakukan khidmat amal.

Dalam kunjungan itu, Obama sempat mengecat sebuah rak buku bagi memperingati Hari Perkhidmatan Kebangsaan.

Secara kebetulannya, majlis angkat sumpah Obama turut berlangsung pada hari jadi pemimpin hak asasi terkenal amerika, Martin Luther King.

Dijangkakan hanya 600,000 orang akan menghadiri dan menyaksikan majlis berkenaan.