Dalam kenyataan mengejutkan Presiden Israel, Shimon Peres mengakui rejim Zionis telah melakukan pembunuhan ke atas Presiden Palestin, Yasser Arafat.

Kenyataan dibuat ketika Pasukan Forensik Antarabangsa sedang bertungkus lumus menyelesaikan teka teki punca kematian Allahyarham selepas sampel jenazahnya diambil pada November tahun lalu.

Peres turut mempertanggungjawabkan Tel Aviv di atas tindakan berkenaan.

Jelasnya pembunuhan itu tidak sepatutnya dilakukan kerana ia menyebabkan rundingan damai bertambah sukar.

Dalam temubual sama, beliau turut menyatakan pendiriannya menolak pendekatan membunuh pemimpin Palestin bagi mencapai matlamat politik.

Beliau bagaimana pun menyokong serangan ke atas Gaza yang disifatkan sebagai pengajaran untuk pergerakan Islam Hamas.

Kenyataan Peres disiarkan radio Israel yang mendakwa ia adalah sebahagian daripada temubualnya dengan akhbar New York Times Amerika Syarikat.

Kenyataan itu merupakan pengakuan pertama oleh pemimpin kanan Israel selepas rejim Yahudi kerap kali menafikannya.

Allahyarham Yasser Arafat jatuh sakit secara tiba-tiba pada 2004 ketika dikepung Israel di Ramallah sebelum dipindahkan ke Perancis dan meninggal dunia.

Penyiasatan baru terhadap kematian Arafat bermula awal tahun lalu selepas penemuan bahan radioaktif Polonium pada pakaian dan barangan pemimpin itu.