BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin akan mengetuai delegasi negara itu pada Sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA78) di New York dari 18 hingga 24 Sept.

Ia merupakan kemunculan sulung Srettha pada perhimpunan agung tahunan badan dunia itu selepas dipilih sebagai perdana menteri baharu pada 22 Ogos.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan Jurucakap Kementerian Luar, Kanchana Patarachoke, berkata Srettha akan menyampaikan kenyataan negara pada Perbahasan Umum dan akan mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak SDG, dengan pencapaian 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sentiasa menjadi antara keutamaan Thailand.

Beliau berkarta Perdana Menteri itu juga akan menghadiri Sidang Kemuncak Tindakan Iklim dan mengadakan pertemuan dua hala peringkat tinggi dengan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

Selain menghadiri mesyuarat PBB, Srettha dan delegasi akan bertemu pemimpin sektor swasta termasuk Dewan Perniagaan Amerika Syarikat (USCC), Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC) dan pemimpin perniagaan utama AS serta libat urus dengan komuniti Thailand di AS.

Beliau juga akan mengambil bahagian dalam Mesyuarat Peringkat Menteri bagi Persediaan Sidang Kemuncak Masa Hadapan, yang akan berlangsung tahun depan.

Sementara itu, Kanchana berkata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Parnpree Bahiddha-Nukara yang akan mengiringi perdana menteri ke UNGA akan memanfaatkan peluang itu untuk mendapatkan sokongan bagi pencalonan Thailand ke Majlis Hak Asasi Manusia PBB (HRC) bagi penggal 2025-2027, dengan pemilihan akan berlangsung pada bulan depan.

Parnpree dijadual bertemu wakil peringkat tertinggi dari negara lain, termasuk Dennis Francis, Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi ke-78 (PGA78), serta menghadiri mesyuarat peringkat tinggi mengenai kesihatan awam dan Perlindungan Kesihatan Sejagat (UHC).

-- BERNAMA