PARIS: Perancis mungkin akan mewajibkan pempengaruh untuk melabelkan sama ada foto atau video yang disiarkan telah diubah suai atau menggunakan filter.

Dalam sidang akhbar pada hari Jumaat, Menteri Kewangan Perancis, Bruno Le Maire berkata negara itu adalah negara Eropah pertama yang dijangka mewujudkan rangka kerja komprehensif untuk mengawal selia sektor pempengaruh.

"Kami akan mewajibkan mereka untuk memaparkan penggunaan filter atau mengubah suai kandungan foto dan video semasa perkongsian berbayar," kata Le Maire, menjelaskan bahawa mereka berusaha untuk mengehadkan kesan psikologi negatif terhadap pengguna internet.

"Sebarang promosi mengenai pembedahan kosmetik oleh pempengaruh sebagai sebahagian daripada perkongsian berbayar, kini akan dilarang," katanya.

Cadangan itu adalah sebahagian daripada rang undang-undang yang akan dipertimbangkan dalam Perhimpunan Kebangsaan Perancis minggu depan.

Le Maire menambah, peraturan itu bertujuan untuk membantu menyokong pempengaruh namun dalam masa yang sama melindungi pengguna. Beliau juga memberi amaran kerajaan tidak akan berlembut dengan mereka yang tidak menghormati undang-undang berkenaan.

Ini bukan kali pertama Perancis berusaha untuk meningkatkan ketelusan dalam pengedaran imej.

Pada tahun 2017, Perancis meluluskan undang-undang yang menghendaki mana-mana gambar komersial yang telah diubah suai untuk menjadikan badan model kelihatan lebih kurus atau lebih gemuk untuk dilabelkan sebagai "photographie retouchée" (gambar yang telah diubah suai).

Idea itu datang daripada bekas menteri kesihatan Perancis, Marisol Touraine, yang mahu mengelakkan promosi "kecantikan tidak munasabah dan untuk mencegah anoreksia dalam kalangan orang muda".