PARIS: Bekas pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU) dan perunding Brexit Michel Barnier dinamakan oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron sebagai perdana menteri baharu negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa), memetik pengumuman oleh Istana Elysee pada Khamis.

Pelantikan itu dibuat kira-kira dua bulan selepas pilihan raya parlimen awal yang diumumkan Macron, menyaksikan gabungan kiri meraih kemenangan.

Tetapi tiada parti atau pakatan politik yang memperoleh kerusi yang mencukupi dalam Perhimpunan Kebangsaan, mengakibatkan parlimen tergantung dan ketidaktentuan politik selama berminggu-minggu.

Masih belum jelas sama ada Barnier berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti yang berfungsi.

Barnier, 73, mempunyai kerjaya politik selama beberapa dekad dan merupakan tokoh berpengaruh dalam parti Republikan kanan tengah Perancis.

Beliau adalah menteri alam sekitar di bawah Francois Mitterrand, menteri luar di bawah Jacques Chirac dan menteri pertanian di bawah Nicolas Sarkozy.

Beliau juga pernah beberapa kali berkhidmat sebagai pesuruhjaya EU. Beliau juga merupakan bekas ketua perunding Brexit EU.

-- BERNAMA