Pemikir-pemikir terkemuka menyeru pembuat dasar di Asia mempertimbangkan untuk mengamalkan pendekatan pengurangan kemudaratan (harm reduction) tembakau dan memberikan akses serta maklumat tepat mengenai produk nikotin alternatif seperti rokok elektronik, produk tembakau yang dipanaskan dan snus.

Mesej tersebut antara yang disuarakan di Forum Pengurangan Kemudaratan Asia 2018 (Asia Harm Reduction Forum) yang diadakan di Makati City di sini, yang mengumpulkan para pemikir terkemuka dari bidang sains, teknologi, kesihatan, dasar dan advokasi pengguna dari seluruh Asia dan Pasifik.

Biarpun undang-undang kerajaan diperketatkan, cukai tinggi ke atas bahan tembakau dan kempen kesedaran yang meluas, merokok masih menjadi isu kesihatan utama di Asia, dengan lebih separuh daripada perokok dunia berada di rantau ini.

“Forum ini bertujuan mendidik masyarakat tentang pengurangan kemudaratan melalui produk alternatif yang lebih baik dan mempromosikan penyelesaian praktikal yang dapat menyumbang kepada peningkatan kesihatan awam secara menyeluruh,” kata Ketua Harm Reduction Alliance of the Philippines (HARAP), Profesor Ron Christian Sison.

“Matlamat utama kami adalah integrasi pengurangan kemudaratan sebagai strategi oleh penggubal dasar dan orang awam, dengan matlamat akhir memastikan kesihatan lebih baik dan persekitaran yang sihat,” kata Ketua Penyelidik Yayasan Pemerhati Kesehatan Publik Indonesia (YPKP), Dr. Drg. Amaliya.

Mewakili kerajaan Filipina, Ahli Kongres Anthony M. Bravo berkata, kebanyakan negara Asia masih ragu-ragu mengenai pengurangan kemudaratan tembakau, dan ada yang mengharamkan produk nikotin alternatif.

“Penggubal undang-undang perlu melihat bahawa pengurangan kemudaratan tembakau adalah penyelesaian paling berkesan untuk membendung tabiat merokok di Asia dan boleh menyokong langkah kawalan tembakau sedia ada,” kata M. Bravo ketika menyampaikan ucaptama di forum berkenaan.

Selain daripada pandangan pembuat dasar, AHRF 2018 juga menyaksikan perkembangan saintifik terkini dalam pengurangan kemudaratan tembakau daripada pengamal kesihatan dan akademik terkemuka.

Agensi Kesihatan Awam England UK dan Pentadbiran Makanan dan Dadah AS adalah antara pihak berkuasa yang telah mengamalkan pengurangan kemudaratan tembakau dalam merumuskan dasar kawalan tembakau mereka.

Tambah Dr. Amaliya, pendekatan ‘berhenti (merokok) atau mati’ kini tidak lagi relevan bagi perokok tegar.

“Jadi sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan pendekatan ‘berhenti atau cuba’ dengan mencuba produk nikotin alternatif. Ini terbukti berjaya di negara-negara seperti UK dan Jepun di mana produk nikotin alternatif tersedia secara meluas,” katanya.

AHRF 2018 dianjurkan bersama oleh Harm Reduction Alliance of the Philippines (HARAP) dan Yayasan Pemerhati Kesihatan Publik Indonesia (YPKP).

Ia menampilkan speaker-speaker seperti Prof. Tikki Pangestu dari Singapura membincangkan dasar-dasar kesihatan awam yang dipertanggungjawabkan untuk pengurangan kemudaratan; Dr. Marewa Glover, berkongsi Pendekatan New Zealand bagi Pengurangan Kemudaratan Tembakau; Dr. Hiroya Kumamaru, bercakap tentang produk tembakau alternatif di Jepun dan impak positif mereka untuk mempercepatkan penurunan kadar merokok negara; Dr. Kgosi Letlape berkongsi pengalaman pengurangan kemudaratan tembakau di Afrika Selatan dan bagaimana negara-negara Asia boleh mempraktikannya dan Prof. Helen Redmond, Profesor di New York University membincangkan tentang vape dan populasi yang berisiko.

Fakta
Sumber: Asia Harm Reduction Forum, Manila, 2018