WARGA Indonesia menerima khabar duka apabila Ketua Pusat Data dan Informasi dan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho meninggal dunia pada awal pagi Ahad di Guangzhou, China.

Beliau menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam 2 pagi waktu tempatan di sebuah hospital di bandar raya tersebut.

Anak kelahiran Boyolali pada 1969 itu menjalani rawatan di sana selepas disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat pada Januari lalu.

Kehilangan beliau yang turut digelar 'Si Penyebar Info Bencana' turut diumumkan oleh Direktorat Pengurangan Risiko Bencana (PRB) BNPB menerusi laman Twitter rasminya awal pagi tadi.

Kegigihan beliau membuat liputan mengenai bencana di Indonesia diaggap sangat mengagumkan dan diiktiraf oleh Presiden Indonesia sendiri Joko Widodo (Jokowi) yang menjemputnya ke Istana Kepresidenan Bogo pada 5 Oktober 2018.

Dalam pertemuan empat mata itu, Jokowi menyatakan kekagumannya terhadap kegigihan beliau menyampaikan maklumat bencana dengan cara tersendiri yang mudah difahami dan menarik minat masyarakat.

Berkenaan berita pemergian Sutopo, Jokowi telah menzahirkan rasa dukacitanya menerusi satu hantaran di akaun Instagram:


Sutopo sebenarnya dikesan lebih awal bertarung dengan penyakit tersebut selepas kesan serangan penyakit itu terlihat pada fizikalnya yag semakin hari semakin menyusut.

Bagaimanapun Sutopo dilihat masih bertungkus-lumus bekerja setiap kali berlakunya bencana walaupun kelihatan sakit dan tidak sihat, hinggakan ramai yang berkata bahawa Sutopo lebih mengutamakan amanah menjaga keselamatan orang ramai yang berada dalam zon bencana, berbanding kesihatan dirinya sendiri.

Di media sosial, beberapa pemimpin negara itu juga dipenuhi ucapan takziah terhadap keluarga beliau.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Sutopo menjadi sumber maklumat rasmi bagi media antarabangsa termasuk Astro AWANI dalam penyampaian laporan berkaitan kejadian bencana yang melanda negara jiran itu.

Antara laporan berita Astro AWANI yang mendapat rujukan maklumat secara terus daripada Sutopo adalah ketika laporan tragedi letusan Gunung Berapi Agung di Bali, tsunami Selat Sunda dan kebakaran hutan di Sumatera serta Kalimantan.