"Kami mengumumkan penyambungan semula penerbangan antarabangsa ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik mulai 7 Januari," kata Ashhad al-Salibi, Ketua Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dan Pengangkutan Udara Syria, pada Sabtu.
Operasi di lapangan terbang itu digantung bulan lepas selepas kemudahan penerbangan itu dijarah dan dirosakkan susulan penggulingan Presiden Syria, Bashar al-Assad, menurut sumber Kementerian Pengangkutan.
Al-Salibi memberitahu agensi berita rasmi Syria, SANA, bahawa pihak berkuasa penerbangan sedang giat menjalankan kerja-kerja pemulihan di lapangan terbang Damsyik dan bandar utara Aleppo untuk membolehkan penerbangan dari seluruh dunia mendarat.
Awal minggu ini, Qatar Airways mengumumkan akan menyambung semula penerbangan ke Damsyik bermula Selasa.
Penerbangan domestik di lapangan terbang Damsyik telah beroperasi semula pada 18 Disember.
Sejak penggulingan Bashar al-Assad, kerajaan baharu Syria terus berusaha memulihkan keselamatan serta memperbaiki kemudahan negara yang terjejas akibat peperangan selama lebih sedekad.
-- BERNAMA