Oleh itu, bekas Ketua Wakil Pelajar Indonesia di Malaysia, Doni Ropawandi berkata, anak muda masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat, serta belum memilih calon presiden yang akan diundi.
“Kita ingin melihat tawaran-tawaran yang akan dibawa oleh ketiga-tiga calon presiden tersebut. Undi akan diberikan kepada calon yang ada dasar yang berpihak kepada generasi Z dan milenial.
“Kita masih tidak jelas mengenai ketiga-tiga calon ini. Visi untuk anak muda masih tidak jelas. Kita harap dalam masa yang kurang dari sebulan ini, kita boleh lihat visi dan misi yang lebih jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Tambah Doni, calon-calon presiden perlu memberi penekanan kepada kebajikan dan masa depan pelajar-pelajar serta diaspora Indonesia yang berada di luar negara.
“Satu peratus anak muda belajar di luar negara, dan kita merasakan ketika kita balik ke Indonesia, kami masih tidak ada tempat. Kita berharap presiden yang terpilih mesti berpihak kepada anak muda terutamanya diaspora Indonesia yang berada di luar negara,” katanya.
Indonesia sedang melalui tempoh berkempen bagi Pemilihan Umum (Pemilu) 2024 yang bakal menyaksikan lebih 204.8 juta pengundi bakal memilih ahli dewan perundangan dan presiden melalui Pemilihan Presiden (Pilpres) yang berlangsung pada 14 Februari akan datang.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU), daripada jumlah itu, 55 peratus adalah pengundi muda.
Dialog Tiga Penjuru: PEMILU Indonesia 2024 - Pesta Suara Rakyat