Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim), Dr Muhamad Azrin Omar berkata, semangat dan perhatian dunia terhadap Palestin sedikit kendur kebelakangan ini disebabkan kelicikan Zionis menormalisasikan kezaliman serta pembunuhan.
Namun menurutnya, dengan pembunuhan Ismail Haniyeh akan membangkitkan lagi semangat dan perhatian masyarakat dunia.
"Dalam detik yang penting ini, kami ingin mengajak seluruh masyarakat dunia untuk memperingati dan menghormati legasi Ismail Haniyeh dengan menyokong cadangan beliau untuk menjadikan 3 Ogos sebagai Hari Solidariti Gaza Sedunia.
"Ini adalah masa yang tepat untuk kita bersatu dan menunjukkan sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin.
"Kami percaya bahawa pembunuhan Ismail Haniyeh bukanlah pengakhiran, tetapi permulaan baru dalam perjuangan Palestin. Seperti kata pepatah, 'satu gugur, seribu akan bangkit'.
"Kematian Haniyeh akan melahirkan ribuan pejuang baru yang akan meneruskan perjuangan beliau. Ini adalah detik penting di mana kita akan menyaksikan kebangkitan semangat perjuangan yang lebih kuat di kalangan rakyat Palestin dan penyokong mereka di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ismail Haniyeh dilapor dibunuh di Tehran, Iran, pada Rabu didalangi penjajah Zionis.
Sehubungan itu, Muhamad Azrin berkata, Serantau Muslim mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan tersebut.
"Seperti kita sedia maklum, penjajah Zionis telah lama menyasarkan pembunuhan terhadap Allahyarham dan pemimpin tertinggi Hamas yang lain.
"Serantau Muslim menggesa rakyat Malaysia dan seluruh dunia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan ini. Kita perlu sama-sama menzahirkan suara kemarahan dan kebersamaan kita terhadap perjuangan Palestin.
"Marilah kita bersama-sama meneruskan perjuangan untuk keamanan dan keadilan di Palestin, seperti mana yang diperjuangkan oleh Ismail Haniyeh sepanjang hayatnya. Kematian beliau tidak akan sia-sia, sebaliknya akan menjadi pemangkin kepada perubahan yang lebih besar,"katanya.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian