KUALA LUMPUR: Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan akan menyuarakan pendirian Malaysia berkenaan isu Palestin dalam Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif di Peringkat Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi.

Melalui hantaran di Facebook beliau pada Rabu, Mohamad berkata, mesyuarat yang diusul oleh Palestin dan Iran itu membincangkan jenayah kependudukan Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin dan pencerobohan serta ancamannya terhadap kedaulatan Iran.

"Saya juga akan menyampaikan kenyataan mewakili Malaysia bagi mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan besar-besaran di Semenanjung Gaza oleh rejim Israel termasuk pembunuhan kejam Ismail Haniyeh di Tehran, baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, beliau juga mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan rakan sejawat dari Iran, Pakistan dan Palestin.

Mesyuarat tergempar itu dipengerusikan oleh Menteri Luar Gambia selaku pengerusi Sidang Kemuncak OIC ke-15.

Sebelum ini, Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan penyertaan Mohamad dalam mesyuarat itu juga menandakan komitmen Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dan Malaysia menyokong penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Selain itu, Malaysia menyokong kemasukan Negara Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai anggota penuh, menurut kenyataan itu. - BERNAMA