PEMANDU lumba rali profesional dan bintang YouTube terkenal Ken Block, meninggal dunia pada usia 55 tahun selepas terlibat dalam kemalangan ketika melakukan aktiviti snowmobile di Utah, kata pasukannya Hoonigan Racing pada hari Isnin.

"Dengan rasa kesal kami yang mendalam, kami mengesahkan bahawa Ken Block meninggal dunia dalam kemalangan kereta salji hari ini," kata Hoonigan dalam satu kenyataan di Instagram.


"Ken adalah seorang yang berwawasan, perintis dan ikon. Dan yang paling penting, seorang bapa dan suami. Dia akan sangat dirindui."


Kemalangan itu berlaku di Daerah Wasatch di Utah dan Pejabat Syerif berkata bahawa Block sedang menunggang di cerun curam apabila kereta salji itu terbalik dan mendarat di atasnya.

"Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialami dalam kemalangan itu," kata mereka dalam satu kenyataan. Tambahnya juga, Block didapati menunggang secara kumpulan tetapi bersendirian ketika kemalangan itu berlaku.

Setelah memulakan kerjaya ralinya pada tahun 2005, Block telah dinamakan Pelumba Baharu Terbaik dalam Kejohanan Rali America. Dia bertanding dalam Kejohanan Rali Dunia dan memenangi beberapa pingat rali silang di Sukan X.

Beliau juga terkenal sebagai pengasas syarikat pakaian sukan DC Shoes serta menghasilkan siri video terkenalnya Gymkhana, yang menampilkan dia memandu di trek berbahaya dan laluan berhalangan. Siri ini mendapat jutaan tontonan di YouTube.