LONDON: Seorang pemandu dijatuhi hukuman perintah komuniti oleh Mahkamah Britain selepas menghendap seorang puteri dari Qatar yang dia percaya menjalin hubungan dengannya, lapor PA Media/dpa agensi berita.

Jihad Abousalah, 47, menghendap Haya Al-Thani antara 1 Mac dan 23 Mac tahun ini. Prosiding kes itu didengar di Mahkamah Majistret Westminster pada Jumaat.

Dia hadir di mahkamah dengan mengenakan kemeja dan seluar serta gaya jambang yang panjang.

Mahkamah mendengar bahawa Abousalah bekerja sebagai pemandu untuk Al-Thani, yang merupakan ahli keluarga diraja Qatar.

Namun, dia mula percaya dia menjalinkan hubungan dengan puteri itu.

David Burns, pendakwa raya berkata Abousalah menghantar bunga kepada puteri itu.

"Dia menghantar nota mengucapkan selamat hari lahir dan hadiah yang termasuk gelang dan bunga."

Dia kemudian mula menghubungi Al-Thani.

"Pengadu tinggal di Doha dan mula menerima beberapa panggilan."

Abousalah juga hadir di alamat Al-Thani dan cuba memberikan bunga kepada seorang kakitangan untuk diserahkah kepada puteri itu.

"Pengadu berkata bahawa hakikat bahawa itu adalah alamatnya membuatkan beliau berasa takut."

Mahkamah mendengar bahawa Al-Thani sangat bimbang dengan tingkah laku Abousalah sehingga beliau meminta suaminya, Mohamed Al-Thani, untuk mengupah pengawal peribadi.

"Pengadu telah menyatakan beliau telah bercakap dengan suaminya tentang mengupah pengawal peribadi," kata Burns.

"Beliau berkata insiden itu telah menyebabkan beliau cemas dan tertekan. Beliau juga berkata tidak boleh menjalani kehidupan seharian seperti biasa.

"Beliau juga merasakan memerlukan perlindungan untuk dirinya dan untuk anak-anaknya."

Tambahnya, Al-Thani berasa takut kerana Abousalah mengetahui jadual anak-anaknya dan dia sering melihat ke luar tingkap ketika berada di rumah untuk memeriksa sama ada dia berada berdekatan.

Sundeep Pankhania, yang mewakili Abousalah dalam mitigasi, menyatakan bahawa anak guamnya mengalami penyakit mental pada masa kesalahan itu.

"Dia mempunyai pandangan yang tidak betul bahawa dia mempunyai hubungan dengan puteri itu," katanya.

"Dia menceraikan isterinya kerana dia benar-benar mempercayai perkara itu."

Abousalah telah ditangkap dan didakwa menghendap, sebelum mengakui pertuduhan itu pada perbicaraan awal.

Hakim Louisa Cieciora berkata dia telah "dengan teliti" mempertimbangkan kandungan laporan perubatan sebelum menjatuhkan hukuman kepada Abousalah.

"Tanggungjawab anda berkurangan dengan ketara disebabkan gangguan mental anda," katanya.

Hakim berkata kelakuannya telah menyebabkan "tekanan yang sangat serius" kepada mangsa.

"Saya mengambil kira penyesalan anda dan saya terima ia adalah ikhlas," katanya.

Hakim menjatuhkan hukuman perintah komuniti selama 12 bulan kepada Abousalah, serta keperluan aktiviti pemulihan selama 30 hari.

Selain itu mahkamah juga mengeluarkan perintah sekatan selama tiga tahun, memerintahkannya untuk mengelakkan Al-Thani dan suaminya serta kawasan Hyde Park.

-- BERNAMA