SEOUL: Presiden Yoon Suk Yeol memberi amaran ke atas Korea Utara susulan pelancaran terbaru peluru berpandu antara benua yang disifatkan beliau sebagai satu lagi tindakan provokasi.

Yoon berkata demikian pada mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (NSC) pada Khamis sejurus sebelum berlepas ke Tokyo untuk menghadiri sidang kemuncak bersama Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida.

Pada sidang kemuncak itu, kerjasama keselamatan terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu Utara dijangka menjadi topik utama perbincangan kedua-dua pemimpin berkenaan.

"Korea Utara pasti perlu menanggung akibatnya susulan provokasi melulunya itu," kata Yoon sambil menekankan perlunya usaha untuk mengukuhkan kerjasama keselamatan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, menurut kenyataan pejabat presiden.

Yoon juga mengarahkan tentera untuk menjalankan latihan ketenteraan secara menyeluruh dengan Amerika Syarikat, lapor Yonhap.

Awal minggu ini, Korea Selatan dan AS memulakan latihan ketenteraan Freedom Shield selama 11 hari, latihan terbesar antara kedua-dua sekutu itu sejak bertahun-tahun.

Menurut tentera Korea Selatan pihaknya mengesan pelancaran itu dari kawasan Sunan di Pyongyang pada 7.10 pagi dan peluru berpandu itu terbang kira-kira 1,000 kilometer sebelum jatuh ke laut.

-- BERNAMA