NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan Israel ke atas sebuah sekolah PBB di Gaza yang menyebabkan puluhan maut.

Menyifatkan serangan itu sebagai satu kejadian yang tragis dan mengerikan, jurucakap PBB Stephane Gujarric berkata ia adalah harga yang perlu dibayar oleh orang awam, lelaki, wanita dan kanak-kanak Palestin yang cuba bertahan dalam mencari pelindungan.

Dujarric juga membidas persoalan daripada wartawan berkaitan pengesahan sekolah berkenaan digunakan sebagai tempat perlindungan orang awam.

"Biar saya jelaskan di sini, tiada sekolah yang beroperasi di Gaza, betul? Ini bermakna 300,000 kanak-kanak yang disekolahkan oleh UNWRA tidak bersekolah.

"Oleh itu, apabila kita merujuk kepada sekolah UNRWA, saya fikir kita harus benar-benar merujuk kepada bangunan yang pernah digunakan sebagai sekolah, yang pada masa ini digunakan sebagai tempat perlindungan bagi memastikan orang awam selamat, namun ketika ini, tiada tempat yang selamat.

"Ini satu lagi contoh mengerikan tentang harga yang terpaksa dibayar oleh orang awam, bahawa lelaki, wanita dan kanak-kanak Palestin yang baru cuba bertahan, yang dipaksa untuk bergerak dalam  lingkaran kematian di sekitar Gaza dalam mencari keselamatan," tegasnya.

Israel menyerang sekolah berkenaan pada Khamis melalui serangan udara yang kononnya disasarkan ke atas 30 tentera Hamas di dalamnya.

Menurut seorang pegawai Hamas, 40 orang awam terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak yang berlindung di tapak PBB.

Sekolah berkenaan yang dikendalikan oleh Agensi Pelarian Palestin PBB (UNRWA), melindungi 6,000 orang yang hilang tempat tinggal pada masa itu, kata ketua UNRWA Philippe Lazzarini.

Rakaman video menunjukkan rakyat Palestin mengangkut jenazah yang terkorban selepas serangan.

Apa yang menyedihkan adalah ia berlaku pada saat rundingan pengantara mengenai gencatan senjata.

Pegawai Amerika Syarikat dan Israel memaklumkan kepada Reuters bahawa kira-kira separuh daripada tentera Hamas terbunuh dalam konflik itu.

Bagaimanapun Hamas tidak mendedahkan kematian dalam kalangan pejuangnya.

Manakala, jumlah kematian tentera Israel sendiri hampir 300.