Semua 298 penumpang dan anak kapal dalam pesawat Boeing 777 berkenaan terkorban apabila ia ditembak jatuh di kawasan konflik di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lalu. Seramai 193 penumpang merupakan warga Belanda.
"Misi ini berjaya menemui saki baki mayat dan barangan peribadi di dua lokasi,” kata jurucakap Jabatan Keadilan Belanda Jean Fransman.
Operasi mencari yang disambung semula akibat ditangguhkan sewaktu musim dingin itu dijalankan di Petropavlivka, iaitu kira-kira 10 kilometer di barat Grabove. Lokasi tersebut dikatakan kawasan paling banyak serpihan pesawat ditemui.
Sebelum ini, pasukan penyiasat tidak dapat memasuki Petropavlivk kerana ia zon panas pertembungan puak pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.
Konflik berkenaan sudah berkurangan sejak gencatan senjata pada Februari lalu seterusnya membolehkan pasukan penyiasat menyambung tugas mereka.
“Barangan peribadi seperti barang kemas telah diserahkan kepada ahli-ahli misi tersebut oleh penduduk tempatan,” ujar kementerian tersebut dalam sebuah kenyataan.
MH17: Pasukan kumpul bukti kembali ke Timur Ukraine
Kiev dan pihak Barat mendakwa pesawat berkenaan telah ditembak jatuh oleh puak pemisah menggunakan peluru berpandu darat-ke-udara BUK yang dibekalkan Rusia. Moscow bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menyalahkan Kiev.