KUALA LUMPUR: Sejenis spesies orkid hibrid baharu dinamakan sebagai Vanda Halimah Yacob Mohamed bersempena nama Presiden Singapura Halimah Yacob dan suaminya, Mohamed Abdullah Alhabshee.

Ia sebagai penghormatan kepada pemimpin itu yang melakukan lawatan sulungnya ke Malaysia bermula semalam.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis penamaan orkid itu yang diadakan di Istana Negara.

Orkid Vanda Halimah Yacob Mohamed merupakan kacukan antara Vanda Kulwadee Fragrance sebagai induk betina dengan Vanda Tesselata sebagai induk jantan.

Ia memiliki kelopak bunga berwarna putih dipenuhi bintik-bintik ungu terang dan berbau wangi.

Terdahulu, Presiden Singapura itu diberikan sambutan negara di Istana Negara.

Kunjungan beliau adalah sebagai lawatan balas selepas menerima undangan Yang di-Pertuan Agong yang berkunjung ke Singapura pada Oktober tahun lepas.

-- BERNAMA