IPOH: Sejenis spesis orkid hibrid baharu yang dinamakan sebagai Aranda PMX-Anwar diumumkan di majlis perasmian Hari Landskap Negara 2023 (HLN2023) di Taman D. R Seenivasagam, di sini hari ini, mengambil sempena nama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Sejambak orkid berkenaan telah diserahkan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming kepada Anwar selepas Perdana Menteri menyempurnakan majlis perasmian itu.

Ia dinamakan sedemikian bagi meraikan simbolik warna kuning-jingga spesies berkenaan, yang menggambarkan kegembiraan, optimistik dan semangat seperti mana karakter Perdana Menteri.

Aranda PMX-Anwar merupakan kacukan induk betina, Aranda Tecnokraft, yang merupakan hibrid orkid integenerik daripada kacukan Aranda Khaw Phaik Suan dan Vanda Memoria Choo Lalkeun, manakala induk jantan, Aranda Sayan, juga adalah hibrid orkid integenerik berwarna kuning kacukan di antara Vanda Medasand dan orkid liar Arachnis hookeriana.

Kacukan baharu itu berbunga kali pertama pada 5 Mac 2013.

Hibrid ini telah didaftarkan dengan Penguatkuasa Pendaftaran Antarabangsa Hibrid Orkid di England.

Ciri-ciri bunga bewarna kuning-jingga terang mewarisi sifat induk jantan dengan kelopak tebal, berbentuk hampir bulat dan tersusun cantik dengan bibir bunga bewarna jingga kemerahan.

Bibir bunga yang agak panjang dan warna jingga kemerahan ini menyerlahkan keseluruhan jambangan bunga di pokok.

Bunga ini bersaiz sederhana dengan saiz berukuran diantara 3.0 ke 4.5 sentimeter dan susunan jambak bunga berbentuk spiral dengan tangkai bunga berukuran sederhana di antara 28 hingga 30 sentimeter panjang.

Setangkai bunga mengeluarkan 8 hingga 12 kuntum bunga yang tahan lebih lima minggu di pokok.

-- BERNAMA