“KAMU tidak bersama mereka?” Pemandu pelancong kami bertanya kepada saya.
Saya yang sedang leka merakam visual di bawah terik matahari di pantai persendirian Hotel Atlantis itu melangkah ke sudut redup untuk mendekati Fath.
“Mereka habiskan penggambaran dulu, giliran saya di akhir sesi,” jawab saya, merujuk kepada pasukan kru Astro yang bersemangat merakam aksi seorang selebriti dan pasangannya bagi sebuah program hiburan untuk siaran khas hari raya.
Jadual penggambaran yang sibuk di Dubai hari itu mengambil tempat di lokasi idaman pelibur dunia - di ‘pucuk’ The Palm - sebuah pulau buatan mega berbentuk pokok palma di atas tambakan tanah di Teluk Parsi.
Memandangkan saya punya waktu terluang, saya mahu bersembang dengan Fath - pemuda dari Damsyik, Syria, dalam usia akhir 30-an. Pada awal perkenalan, Fath mengejutkan rombongan Astro kerana dia agak fasih berbahasa Melayu lantaran isterinya orang Indonesia. Fath sudah lebih sedekad bekerja di Dubai dalam industri pelancongan.
“Oh, jadi kamu fokus pada cerita destinasi ini. Bertuah ya jadi wartawan kembara. Pasti seronok,” kata Fath.
“Sudah tugas saya. Kalau ada kesempatan dan waktu macam ni, dapatlah juga melancong sambil kerja,” balas saya.
“Pasti sudah ke banyak tempat. Pernah ke Syria juga?” Tanya Fath.
“Pernah. Tahun 2010,” jawab saya pendek. Terus saat itu membuka vorteks memori kunjungan sulung saya ke Syria sempena acara Festival Laluan Sutera sedekad dahulu, hanya beberapa bulan sebelum bermulanya konflik yang membarah.
Fath tertarik dengan respons itu lantas ditanya apa yang saya suka tentang negaranya. Jawab saya: Syria adalah negara yang cantik, kaya dengan sejarah, malah menjadi negara Arab pertama yang membuat saya rasa seperti di Malaysia. Rakyatnya menyambut mesra dan peramah. Tidak kasar seperti di sesetengah negara Arab lain.
“Ya betul. Kita sama. Orang Syria baik-baik. Kita pun sama-sama Sunni. Negara saya cantik, kan? Mesti banyak kenangan di sana,” kata Fath.
Saya mengangguk mengiyakannya, teruja juga hinggakan jari pantas menatal susur masa akaun Instagram saya untuk menunjukkan Fath gambar-gambar yang sempat saya rakamkan di Syria.
“Oh ini menarik! Subhanallah.. Kamu sempat melawat banyak tempat. Ini istimewa!” Fath teruja melihat koleksi gambar yang saya abadikan di Instagram. Dari pemandangan di Damsyik hingga ke pergunungan di Lattakia, dari Brad ke Homs, dari Palmyra ke Aleppo. Saya seronok dapat mengembalikan ingatan manis tentang Syria.
Namun, selepas satu demi satu gambar bersilih ganti, riak wajah Fath yang pada awalnya kagum malah memuji melihat siri throwback dari lawatan saya ke negaranya, tiba-tiba saja berubah.
Pandangannya bertukar sayu saat terpandang gambar Masjid Umayyad, Souq Al Hamidiyah, peniaga warga emas di kaki lima dan gambar sekumpulan kanak-kanak di Citadel Aleppo, di skrin telefon saya.
Terjadilah momen senyap yang saya tidak mahu ia terjadi... yang sepatutnya saya boleh jangka dan elak daripada terjadi.
Rasa kesal datang menyambar. Bagai ada renjatan voltan dari hujung jari saya yang sedang menatal skrin telefon, lalu menujah ke lubuk sedar... ‘Allah... apa aku dah buat ni?’ Getus hati saya.
Kesal kerana saya terperasan sesuatu - pantai putih di bawah terik matahari Dubai itu terpantul jelas dalam genang air di mata Fath. Urat darah halus dalam bola matanya semakin merah. Dia segera mengalih wajahnya untuk menyeka air mata.
Perasaan saya ikut luluh. Saya diterajang rasa bersalah kerana terlanjur mengimbas tentang Syria yang dahulu pernah saya kenali.
“Fath, saya minta maaf,” saya menyentuh lengannya. “Saya mohon maaf kalau perbualan ini membuka luka lama, atau sesuatu yang kamu ingin lupakan. Bukan niat saya nak buat kamu bersedih.
“Saya okay. Tak apa, kamu tak salah apa-apa,” perlahan jawabnya. Hela nafas kami jadi berat, dan hampir seiring dilepaskan.
“Maaf sekali lagi. Cuma sebenarnya, saya juga amat rindu pada negara asal kamu. Saya pernah alami sendiri keindahan dan kemakmuran Syria,” luah saya jujur.
Fath menangkap erat tangan saya dalam aksi berjabat tangan. Dia meletakkan tangan kirinya ke bahu saya.
“Tidak apa. Saya memahami kalau kamu sempat mengalaminya. Indah, bukan? Tapi kemusnahan di Syria itu realiti yang telah dan masih berlaku. Semua orang bercakap mengenainya,” ujarnya.
“Maafkan saya, Fath,” ulang saya lagi. Air mata saya jatuh menitik juga. Saya tidak cepat-cepat menyapunya. Saya tidak perlu rasa malu kerana tiada siapa yang peduli tentang kesedihan di atas tanah tambak The Palm bernilai AS$12 bilion itu (belum termasuk nilai binaan hartanahnya yang berbilion-bilion dolar lagi).
Saya dan Fath sama-sama termenung sebentar memandang pasir pantai sambil mengatur emosi kami... hingga pandangan terlaras semula tanpa air mata, nafas kembali mengikut ritma dan kotak suara kembali melapang untuk menyambung bicara.
“Lihat saja di sekeliling kita sekarang ini...” Fath mencambah butir kata, yang membuatkan saya kembali melihat radius suasana di hujung 'pucuk' The Palm itu.
Hotel Atlantis tersergam megah, seni bina capaian manusia bertaraf marvel melatari horizon, jejambat monorel merentas laut ke kelab eksklusif di pulau seberang, dan tidak jauh dari situ The Royal Atlantis Residences yang berstruktur kontemporari sedang dalam pembangunan. Bot layar mewah melintas-lintas di laut melengkapkan pelbagai lagi aktiviti akuatik di situ, dan di pantainya tetamu wanita bebas berbikini dan keluarga wisatawan antarabangsa berpesta dalam gaya idaman duniawi.
“Dubai yang dahulunya hanya padang pasir, tiada budaya, sumber alam terhad, boleh berubah menjadi sebegini. Kaya raya, bersifat global, bangunan pencakar langit tumbuh merata-rata, serba hebat semuanya.
“Tapi negara saya Syria, yang memiliki sejarah ratusan tahun, orangnya baik-baik dan peramah, landskapnya indah, penuh warisan budaya, banyak sumber alam... tapi akhirnya dilanda perang dan kehancuran.
“Dan kami pun terpaksa lari sehelai sepinggang meninggalkan negara kami. Menumpang simpati di negara lain. Ada yang menerima kami dengan baik, ada yang tidak,” tutur Fath.
Saya terkesan dengan ironi itu. Fath yang kini antara tugasnya membimbing dan memperkenalkan pelancong asing tentang segala magis Dubai yang pantas dibina, sedang hatinya meratapi keindahan tanah airnya sendiri yang dirosakkan.
Berdasarkan data Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), terdapat sekitar 6 juta rakyat Syria berlindung di negara lain selepas melarikan diri dari konflik.
Daripada jumlah itu, lebih 3 juta berada di Turki, dan kira-kira 2 juta pula berdaftar di Lubnan, Jordan, Iraq dan Mesir. Sementara itu, sekitar 6 juta rakyat Syria masih menjadi pelarian dalam negara sendiri. Malaysia pula telah menerima sejumlah kira-kira 3,000 pelarian Syria.
“Tapi, nak tahu kenapa kami tidak akan lupa jasa Malaysia?” Tanya Fath. Saya hanya memandangnya, membiarkan dia memberi jawapan.
“Malaysia adalah antara segelintir negara di dunia ini yang menerima kami tanpa visa, dan tanpa syarat yang menyulitkan. Terima kasih banyak... kerana itu kami amat menghargainya. Malaysia sudi bantu kami, itu tidak sesekali kami lupa,” katanya.
Saya sekadar menunduk. Apakah besar bantuan itu, berbanding lara yang mereka hadapi? Teringat pula pada kumpulan pelarian Syria yang pernah saya jenguk di Shah Alam tidak lama dulu. Meskipun mereka bersyukur diterima baik di Malaysia, namun apalah agaknya perasaan dalam hati apabila mengenangkan nasib ibu pertiwi sendiri yang jauh beribu-ribu batu.
“Percayalah Fath, ramai juga yang seperti kamu. Dapat memulakan hidup di tempat baharu. Ada pekerjaan, ada khidmat untuk diberikan. Syukur kita masih dapat jalani kehidupan. Walau apapun, kita doa sama-sama ya demi Syria.
“Kita sudahpun bertahun-tahun bersedih begini. Mungkin sampai masanya kita fikir pula tentang peluang pembangunan semula negara kamu,” kata saya yang cuba mengalih mood perbualan.
“Betul...,“ jawab Fath. “Pasti Syria akan dibangunkan semula. Tapi ia akan dibangunkan oleh orang yang salah. Orang yang tidak berpihak pada kesejahteraan semua. Orang yang hanya mengutamakan agendanya. Orang yang hanya mengikut telunjuk suatu pihak yang lebih berkuasa.
“Kamu tahu dunia ini diperintah oleh siapa, bukan? Pastinya bukan oleh orang yang baik. Dan orang yang baik tidak mempunyai kuasa, malah boleh ditindas pada bila-bila masa!” Tegas Fath.
Saya terdiam lagi. Kelu. Cubaan untuk memercikkan harapan telah dibalas dengan hakikat kezaliman dunia akhir zaman.
“Ya, dunia ini akan menjadi lebih dahsyat, Fath. Yang penting kita kekal di pihak yang baik dan benar. Kita perlu terus berbuat baik pada orang di sekeliling kita,” kata saya, yang sebenarnya satu peringatan untuk diri sendiri.
“Tapi orang baik susah untuk menang,” pintasnya.
“Jadi orang baik bukan untuk menang atau kalah, Fath. Kita pilih untuk jadi baik sebab itulah sepatutnya fitrah kita. Maka, kita teruslah jadi orang yang baik.. dan berbaktilah di manapun kaki kita berpijak,” balas saya yang sungguh kehabisan kata pujuk.
Fath mengangguk perlahan. Sejurus itu kami sama-sama tersenyum umpama saling meminjam kekuatan, dalam kekosongan prarasa tentang masa depan. Pandangan kami kemudiannya serentak dialihkan ke jutaan warna di sekeliling kami.
Di pantai persendirian Atlantis, The Palm yang melaung aura euforia itu, tempik sorak para pelancong terus bersahut-sahutan. Bunyinya semakin hingar, lantas menenggelamkan kewujudan kami berdua yang mematikan perbualan tanpa noktah nyata.
BACA: Keindahan Syria yang mungkin tidak dapat kita lihat lagi
* Hamzah Hamid merupakan Editor Astro AWANI yang turut mengendalikan program berita kembara 'HamzTravels' di Astro AWANI.
** Rencana ini adalah berdasarkan pemantauan dan pengalaman dari pengembaraan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
*** 'Fath' bukan nama sebenar. Identiti subjek tidak didedahkan sepenuhnya atas sebab-sebab tertentu.
Hamzah Hamid
Fri Feb 21 2020
"Kita sama. Orang Syria baik-baik. Sama-sama Sunni. Negara saya cantik, kan? Mesti banyak kenangan di sana," kata Fath.
Moscow lancar peluru berpandu hipersonik Oreshnik, Zelensky gusar
Zelenskyy "secara langsung menuduh sekutunya di barat meninggalkannya tanpa perlindungan ketika menghadapi tindakan Rusia."
China bakal laksana dasar visa percuma untuk sembilan negara lagi
Pengecualian visa akan diberikan kepada pemegang pasport biasa dari Bulgaria, Romania, Croatia, Montenegro, Macedonia Utara, Malta, Estonia, Latvia dan Jepun secara percubaan.
Piala Malaysia: Perak mula bergaya, KDA belum selamat
Perak FC merobek gawang KDN FC menerusi Clayton Da Silva yang menanduk masuk hantaran Adilet Kanybekov pada minit ke-22.
Masyarakat pelbagai linguistik jadi pemangkin keharmonian Malaysia
Masyarakat itu bukan sahaja tahu untuk berkomunikasi, tetapi juga menghargai kepelbagaian budaya dan bahasa yang ada di sekeliling mereka.
Misi Jelajah Dunia Akhir BWF Aaron-Wooi Yik terima tamparan
Aaron-Wooi Yik terpaksa akur dengan kehebatan pasangan tuan rumah He Ji Ting-Ren Xiang Yu dalam aksi yang berlanjutan ke set penentuan.
Kerajaan Pahang tingkatkan Bantuan Prihatin Pahang Siswa kepada RM14.18 juta
Peningkatan RM6.18 juta itu bagi membolehkan peruntukan BPP Siswa diagihkan kepada 19,525 mahasiswa daripada pelbagai IPT.
RM10 untuk dapatkan salinan sijil SPM di Program 2TM
Harga asal bagi penggantian sijil SPM ialah RM30 dan 'kadar istimewa' itu hanya berlangsung hingga hari terakhir program pada Ahad ini.
KKDW perkenal konsep Smart Village, perkasa komuniti desa dengan teknologi moden
Projek rintis 'Smart Village' KKDW akan diadakan di tiga kampung yang memenangi Anugerah Desa MADANI (ADM) 2024.
Empat projek sedang, bakal dilaksana JPS atasi risiko banjir akibat air pasang besar
Sebanyak empat projek sedang dan bakal dilaksanakan JPS Melaka di beberapa lokasi pesisir pantai negeri ini bagi mengurangkan risiko banjir berikutan fenomena air pasang besar.
Skim galakan guna motosikal elektrik MARiiCas hampir capai sasaran 2024 - MARii
Inisiatif Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) terbukti mendapat sambutan dan hampir mencapai sasaran yang ditetapkan bagi tahun ini.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Tempat kediaman tertinggi dunia akan dibina di Dubai
Ia akan memintas menara Central Park Tower di New York yang berketinggian 472 meter.
UAE salur AS$544 juta baiki rumah penduduk yang rosak akibat hujan
UAE meluluskan pakej bernilai AS$544 juta untuk membantu membaiki kediaman penduduk yang terjejas semasa cuaca buruk baru-baru ini.
Lee Chong Wei terkandas di Paris
Chong Wei berkunjung ke Paris untuk majlis 'The Paris 100 Sino-French Badminton Charity Gala' sejak hujung minggu lalu.
UAE alami hujan paling lebat dalam tempoh 75 tahun
Dalam peristiwa cuaca bersejarah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyaksikan taburan hujan paling lebat direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Daneshen raih perak di Dubai, sahkan tiket ke Paralimpik Paris
Atlet memanah para negara, G. Daneshen berjaya melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024.
Bonnie raih emas Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para di Dubai
Bonnie Bunyau Gustin mengharumkan nama Malaysia apabila muncul juara di Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia 2024 di Dubai.
Pengeksportan Orkid Mokara ke Dubai jadi penanda aras industri orkid negara
Pengeskportan orkid ke Dubai mudah kerana tidak memerlukan rawatan kuarantin dan hanya perlu memenuhi syarat PC yang dikeluarkan DOA.
Dubai akan mempunyai perkhidmatan teksi terbang bermula 2025
Joby Aviation menerima lesen untuk menawarkan perkhidmatan teksi terbang di Dubai bermula 2025 secara eksklusif selama enam tahun.
Eksport orkid Malaysia mampu sumbang RM4 bilion setahun kepada industri florikultur
120 hektar tanah ladang diperlukan bagi mengusahakan tanaman orkid untuk memenuhi permintaan terhadap bunga itu terutamanya dari Dubai.