PADA Januari 2025, FBM KLCI telah mencatatkan penurunan sebanyak 5.20 peratus, walaupun terdapat
beberapa laporan yang menunjukkan daya tahan ekonomi Malaysia semakin baik.

Mengapa data ekonomi yang positif kadangkala tidak selari dengan prestasi pasaran saham?

Ini empat punca yang digariskan oleh Ketua Penyelidikan Pelaburan, UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan:


1️⃣ Pemulihan ekonomi China yang perlahan 

Sebagai rakan dagang utama Malaysia, prestasi China memberi impak besar kepada ekonomi tempatan. Data eksport China yang lemah dan Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) yang kekal dalam zon kontraksi menyebabkan permintaan terhadap bahan mentah dan produk buatan Malaysia merosot. Ini memberi kesan negatif kepada sektor perladangan, tenaga, dan teknologi di Bursa Malaysia. 

2️⃣ Data ekonomi Amerika Syarikat kukuh, kesan kadar faedah 

Ekonomi Amerika Syarikat berkembang lebih baik daripada jangkaan, dengan data pekerjaan yang kukuh dan inflasi masih tinggi. Ini mengurangkan kemungkinan Rizab Persekutuan menurunkan kadar faedah pada 2025, menyebabkan pelabur asing menarik modal mereka ke AS. Akibatnya, ringgit tertekan, dan kos import meningkat, memberi kesan kepada sektor hartanah dan REIT. 

3️⃣ Polisi perdagangan Amerika Syarikat tidak menentu 

Kembalinya Donald Trump ke White House menimbulkan kebimbangan terhadap dasar perdagangan yang tidak terbuka. Jika tarif import terhadap produk Asia meningkat, daya saing eksport Malaysia boleh terjejas, sekali gus memberi impak kepada sektor pembuatan dan pelaburan asing di negara ini. 

4️⃣ Sentimen pelabur berhati-hati dan pengambilan untung 

Selepas kenaikan sederhana pada akhir 2024, ramai pelabur memilih untuk mengambil untung menyebabkan tekanan jualan ke atas saham-saham utama. Dana institusi tempatan juga lebih berhati-hati, menunggu hala tuju dasar global yang lebih jelas sebelum meningkatkan pegangan dalam pasaran saham. 

Ketidaktentuan ekonomi global, dasar monetari AS, dan perkembangan geopolitik terus memberi cabaran kepada pasaran saham Malaysia.

Dalam situasi ini, pelabur dinasihatkan untuk memantau risiko dengan teliti dan menyusun strategi pelaburan yang lebih defensif.

Beliau berkongsi pandangan tersebut ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Isnin.