Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan OIC dalam satu kenyataan turut mengecam tindakan provokatif Israel untuk mengilhak Tebing Barat yang diduduki dan seruan pegawai Israel untuk memperhebat serangan genosid ke atas Semenanjung Gaza, mengecam gesaan itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
OIC menegaskan penolakannya terhadap tindakan provokatif Israel itu yang bertepatan dengan peningkatan keganasan terancang yang dilakukan oleh peneroka haram dan pasukan pendudukan Israel ke atas rakyat Palestin di semua wilayah yang diduduki.
Organisasi itu juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk memikul tanggungjawab mereka bagi menghentikan semua pelanggaran dan genosid oleh Israel terhadap rakyat Palestin selama 15 bulan.
Penerbitan peta itu dibuat ketika menteri dalam kerajaan Israel membicarakan prospek pengilhakan penuh Israel ke atas Tebing Barat yang diduduki dan pembinaan semula penempatan haram di Gaza - kedua-duanya adalah wilayah Palestin yang diduduki secara haram oleh Israel sejak 1967.
Pada Mac 2023, Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan Bezalel Smotrich berucap pada satu acara di Paris sambil berdiri di sebelah peta 'Israel Raya' yang menggambarkan Jordan sebagai sebahagian daripada Israel.
-- BERNAMA