Dalam satu majlis yang bertepatan dengan ulang tahun kemerdekaan Namibia ke-35, Nandi-Ndaitwah secara rasmi memegang jawatan, menggantikan Presiden Nangolo Mbumba yang sebelum ini mengambil alih kepimpinan susulan kematian bekas Presiden Hage Geingob pada 2024.
Sebagai presiden kelima Namibia sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada 1990, Nandi-Ndaitwah memenangi pilihan raya presiden 2024 dengan 57 peratus undi.
"Tugas yang menanti saya sebagai presiden kelima Republik Namibia adalah untuk memelihara pencapaian kemerdekaan kita dalam semua aspek serta memastikan agenda yang belum selesai bagi kemajuan ekonomi dan sosial rakyat dapat diteruskan dengan penuh semangat dan tekad bagi mencapai kesejahteraan seimbang untuk semua," katanya dalam ucapan sulungnya sebagai presiden.
"Saya optimis bahawa, sebagai sebuah negara, kita boleh mencapai kejayaan. Kita mesti bekerjasama sebagai rakyat yang bersatu hati dan satu fikiran," tambahnya.
Majlis angkat sumpah itu dihadiri ketua-ketua negara dari beberapa negara Afrika serta pemimpin organisasi antarabangsa dan serantau.
Nandi-Ndaitwah, 72, adallah ahli parti pemerintah Namibia, Parti Pertubuhan Rakyat Afrika Barat Daya (SWAPO), parti pemerintah Namibia sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada 1990. Beliau menyertai parti itu ketika ia memimpin perjuangan kemerdekaan dan sejak itu memegang pelbagai jawatan kanan.
Nandi-Ndaitwah menjadi anggota Dewan Negara pada 1990 dan dilantik sebagai menteri kabinet pada 2000, mengetuai Kementerian Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Kanak-Kanak. Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai menteri penerangan dan penyiaran, menteri alam sekitar dan pelancongan, serta menteri luar. Pada Februari 2024, beliau menjadi naib presiden wanita pertama Namibia.
-- BERNAMA
