Berita itu berlegar di media sosial susulan satu kiriman di akaun X @BRICSInfo, susulan penutupan hari pertama Sidang Kemuncak BRICS di sini hari ini.
Kiriman itu mendakwa Malaysia bersama 12 negara lain termasuk Thailand, Indonesia dan Vietnam diberikan status itu selepas persetujuan dalam kalangan sembilan negara anggota BRICS.
Walaubagaimanpun, tidak dapat dipastikan sama ada akaun itu mempunyai kaitan rasmi dengan BRICS.
Pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang pengumuman rasmi dikeluarkan oleh kepimpinan blok tersebut, dengan delegasi negara yang disenaraikan dalam senarai tersebut juga tidak menerima sebarang makluman.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu berkata, negara mengalu-alukan keputusan itu sekiranya benar.
“Bagi pihak delegasi Malaysia, kita akan menunggu sebarang pengumuman yang dibuat. Tapi kita juga telah dimaklumkan bahawa permohonan dari negara-negara untuk menyertai BRICS ini terus berlaku,” katanya.
Menurut Rafizi, kerajaan juga menanti pencerahan mengenai perbezaan kelebihan yang diperolehi Malaysia selaku negara rakan, berbanding negara anggota mahu pun negara pemerhati buat masa ini.
“Saya dimaklumkan bahawa proses itu sebenarnya masih diperhalusi kerana setakat ini tak ada sebarang proses yang membezakan antara negara penuh dan negara rakan. Jadi sebenarnya kita perlu lihat dan susuli dari sekarang.
“Lima negara awal perlu buat keputusan, bukan saja dari segi proses menerima anggota, tetapi juga keseluruhan kerangka keanggotaan itu macam mana.
“Jadi, saya kira itu akan terus dibincangkan dan dibawa ke persidangan seterusnya di Brazil tahun depan.” katanya.
Sidang Kemuncak BRICS ke-16 yang berlangsung selama dua hari di sini memberikan fokus kepada agenda pertumbuhan ekonomi dan peluasan keanggotaan.
BRICS ditubuhkan oleh Brazil, Rusia, India dan China pada 2009, sebelum disertai Afrika Selatan pada 2010.
Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu menjadi ahli terbaharu bermula 1 Januari 2024.
Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat negara untuk menyertai BRICS dalam perbualan bersama Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva.
Untuk menjadi anggota BRICS, sesebuah negara perlu mendapat persetujuan semua negara anggota sedia ada.