MEXICO CITY: Seorang individu meninggal dunia akibat selesema burung di Mexico, sekali gus menjadi kes pertama disahkan manusia dijangkiti varian H5N2, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu.

Pesakit lelaki berusia 59 tahun itu menghembuskan nafas terakhir pada 24 April lalu setelah mengalami beberapa simptom termasuk demam dan kesukaran bernafas, namun dia tiada kontak rapat dengan haiwan positif virus influenza A tersebut.

“Punca jangkitan tidak diketahui meskipun kes H5N2 melibatkan haiwan ternakan ada dilaporkan di beberapa lokasi termasuk negeri Michoacan pada Mac lalu,” ujar WHO dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Mexico memaklumkan individu itu mempunyai sejarah penyakit buah pinggang kronik, diabetes tahap dua dan hipertensi arteri sistemik.

“Tiada risiko penularan kepada penduduk,” katanya sambil menambah kesemua ujian sampel daripada kontak rapat pesakit menunjukkan keputusan negatif.

Difahamkan, pihak berkuasa kesihatan sedang memantau ladang ternakan berhampiran rumah individu tersebut selain menempatkan sistem pengawasan kekal untuk mengesan kes lain dalam kalangan hidupan liar di kawasan itu. -- Agensi
*Artikel disiarkan di Sinar Harian