Menteri Luar Arab mengadakan mesyuarat tergempar di Kaherah pada Ahad bagi mencari jalan penyelesaian berhubung krisis Syria selepas serangan kimia yang membunuh beratus-ratus warganya termasuk kanak-kanak.

Namun anggota liga Arab itu tidak sependapat berhubung tindakan ketenteraan ke atas republik Islam yang bakal dilancarkan oleh Amerika Syarikat.

Beberapa anggota utama liga Arab termasuk Mesir menolak tindakan ketenteraan yang dicadangkan Washington itu.

Bagaimanapun wakil Syria memberikan sokongan kepada rancangan Amerika itu kerana menyifatkan serangan senjata kimia oleh rejim Bashar Al Assad telah menyebabkan ramai orang awam yang tidak berdosa menjadi mangsa.

Pendapat Ahmad al-Jarba itu turut mendapat sokongan menteri luar Arab Saudi yang menyokong kuat tindakan kententeraan berkenaan.

Barrack Obama sebelum ini memutuskan bahawa tindakan ketenteraan perlu diambil ke atas Syria.

Beliau berharap, kongres akan memberi lampu hijau bagi melancarkan operasi ke atas republik Islam itu.

Sementara itu beratus-ratus warga Syria mengadakan protes besar-besaran di New York ketika Aamerika dikatakan semakin hampir melancarkan tindakan ketenteraan itu.

Penunjuk perasaan berkumpul di Times Square bagi membantah tindakan campur tangan Amerika ke atas Syria.

Turut menyertai tunjuk perasaan itu adalah warga Amerika sendiri yang menolak tindakan ketenteraan itu.

White House percaya Presiden Bashar ialah dalang dalam serangan senjata kimia di pinggir bandar raya Damsyik pada minggu lalu yang telah mengorbankan lebih 1,400 nyawa.