Dalam nota penyelidikan pada Khamis, bank pelaburan itu menjelaskan perbelanjaan domestik kekal teguh dan permintaan dalam negara juga tetap sebagai pemacu utama yang menyokong momentum pertumbuhan mampan pada suku itu.
Perbelanjaan pengguna terus meningkat seperti ditunjukkan oleh kenaikan perdagangan runcit yang lebih tinggi, meningkat 7.4 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2024 berbanding 5.2 peratus pada suku pertama 2024, pengembangan paling cepat dalam tempoh empat sukuan, jelasnya.
"Faktor lain yang akan memacu pertumbuhan KDNK melebihi 6.0 peratus tahun ke tahun ialah kemajuan yang memberangsangkan dari segi kerja pembinaan dan pengeluaran yang lebih tinggi dalam sektor pembuatan dan perlombongan.
"Pemulihan eksport juga akan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK suku kedua 2024 namun, kami menjangkakan tiada sebarang rangsangan besar daripada eksport bersih memandangkan pertumbuhan import adalah lebih tinggi," tambahnya.
Bank pelaburan itu turut berpandangan momentum pertumbuhan akan berterusan sehingga separuh kedua 2024, disokong oleh aktiviti ekonomi domestik yang kian meningkat dan eksport semakin pulih.
"Namun begitu, kami berhati-hati dengan beberapa risiko negatif terhadap unjuran pertumbuhan Malaysia.
"ia mungkin timbul daripada kemungkinan pencepatan semula inflasi dan ketidaktentuan daripada sektor luaran seperti pertumbuhan lebih lemah di China dan Amerika Syarikat selain ketegangan konflik geopolitik," jelasnya.
-- BERNAMA