Sejak menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) hampir 18 bulan lepas, dengan tempoh dua tahunnya sebagai anggota berakhir pada hujung tahun ini, Malaysia telah memainkan peranan membina dalam isu-isu penting dunia.
UNSC mempunyai 10 anggota tidak tetap dan lima anggota tetap.
"Malaysia telah memainkan peranan membina dalam Majlis Keselamatan apabila ia melibatkan isu-isu penting dunia," kata Wakil Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Ramlan Ibrahim dalam temu bual dengan Bernama di pejabatnya di sini.
Semasa temu bual itu, yang turut dihadiri dua diplomat kanan Malaysia iaitu Timbalan Wakil Tetap Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah dan penyelaras politik Pejabat Perwakilan Malaysia Johan Ariff Abdul Razak, Ramlan juga menyentuh beberapa isu antarabangsa yang dihadapi Malaysia.
"Maklum balas yang kami terima daripada kalangan diplomat PBB ialah walaupun Malaysia sebuah negara kecil, ia dilihat sebagai penggiat serius dalam hal ehwal dunia kerana prinsip yang menjadi pegangannya dan inilah yang menyerlahkan lagi kredibiliti Malaysia," kata beliau.
Sebagai contoh, katanya dalam konteks perjuangan rakyat Palestin, Malaysia mengkritik keganasan pelaku bukan negara dan rakyat Palestin sendiri, selain mengutuk tindakan melampau pasukan bersenjata Israel terhadap rakyat Palestin.
'Pendirian berprinsip' Malaysia juga ketara apabila di bawah pimpinan Mesir sebagai presiden UNSC baru-baru ini, ia bersama-sama Angola, Mesir, Senegal dan Venezuela menganjurkan mesyuarat formula Arria mengenai perlindungan penduduk awam Palestin.
Mesyuarat itu, yang mengambil sempena nama bekas Duta Besar Diego Arria dari Venezuela yang mengambil inisiatif menganjurkannya pada 1992, adalah perhimpunan tidak formal dan secara sulit untuk membolehkan anggota Majlis Keselamatan membincangkan topik tertentu serta mendengar daripada pihak yang lazimnya tidak mempunyai peluang untuk bersuara pada mesyuarat atau perundingan biasa majlis itu.
Bagaimanapun, PBB baru-baru ini diselar berikutan perilaku sesetengah anggota pengaman yang bertugas di beberapa negara yang dilanda konflik bersenjata.
Badan dunia itu menjadi sasaran kemarahan dan kutukan berhubung dakwaan penderaan seksual dan penindasan yang dilakukan anggota pasukan pengaman serta pasukan asing yang dikerah bertugas di Republik Afrika Tengah.
Ramlan berkata Malaysia juga dihormati komuniti antarabangsa kerana sumbangannya dalam pasukan pengaman.
'Blue Helmet', nama yang diberi kepada pasukan pengaman PBB dari Malaysia, juga menjalankan tugas di bawah panji-panji badan dunia itu di pelbagai negara.
Daripada 890 anggota 'Blue Helmet' dari Malaysia, kira-kira 800 ditempatkan di Lubnan manakala yang lainnya ditugaskan di Maghribi, Sahara Barat, Sudan Selatan dan lain-lain.
Pasukan pengaman Malaysia dipuji kerana 'khidmat mereka yang penuh dedikasi dan profesional'.
Ramlan berkata Malaysia juga 'bekerja keras' untuk jawatannya sebagai presiden UNSC berikutnya pada Ogos ini.
Ia merupakan kali kedua Malaysia menyandang jawatan itu selama sebulan, setelah menyandangnya bagi kali pertama tahun lepas.
Seperti semasa menyandang jawatan itu buat pertama kali selama sebulan tahun lepas, Malaysia akan membangkitkan isu kanak-kanak yang tinggal di kawasan dilanda konflik bersenjata seperti yang terkandung dalam Laporan Setiausaha Agung, yang menjadi 'inti pati' laporan itu.
"Saya dan pasukan saya sedang sibuk membuat persiapan untuk menunaikan tugas sebagai presiden Majlis Keselamatan pada Ogos ini. Selain isu Kanak-kanak Dalam Konflik Bersenjata, kami juga mungkin memasukkan isu seperti keadaan di Haiti, Iraq, Syria, Yemen, Asia Tengah dan lain-lain. Kami juga bercadang mengadakan satu lagi acara berkaitan Palestin," kata Ramlan.
Menurutnya komuniti antarabangsa menghargai peranan Malaysia dalam hal ehwal antarabangsa khususnya di PBB.
"Malaysia dihormati...orang melihat bagaimana kita berbincang dengan Rusia berhubung kejadian Penerbangan MH17 Malaysia Airlines yang ditembak jatuh di Ukraine Timur (pada 2014) dan bagaimana kita memelihara hubungan seimbang dan pragmatik dengan Rusia, Ukraine, Amerika, China dan lain-lain.
"Amerika Syarikat terkejut kerana mereka menjangka kita akan mengambil pendekatan berkonfrontasi dan mereka sedar bahawa kita tidak takut untuk mengambil pendirian secara berprinsip.
"Sebagai contoh, dalam perbahasan mengenai keganasan, Amerika Syarikat menghargai pendirian tegas kita terhadap keganasan," kata Ramlan.
Bernama
Mon May 23 2016

RAMLAN: Walaupun Malaysia sebuah negara kecil, ia dilihat sebagai penggiat serius dalam hal ehwal dunia.

Bahrain tekankan perpaduan dan kewujudan bersama dalam hal ehwal Islam
Bahrain juga komited memastikan perpaduan dan kewujudan bersama secara aman kekal sebagai asas kepada kemajuan negara.

Dunia perlu sokongan pelan pembangunan semula Gaza tanpa pemindahan penduduk - Presiden Mesir
Badr Abdelatty berkata, Mesir sedang merangka satu konsep menyeluruh dan berperingkat bagi pembangunan semula Gaza.

Google bayar US$340 juta kepada Itali selesaikan kes cukai tertunggak
Google dan pihak berkuasa kewangan Itali capai persetujuan serta menyelesaikan audit cukai bagi tempoh 2015 hingga 2020 tanpa prosiding undang-undang.

Rusia sedia sambung perbincangan berkenaan Ukraine - Putin
Dalam masa sama, kata Putin, membina semula kepercayaan dengan Amerika Syarikat adalah penting bagi mencapai kemajuan bermakna.

WHO lapor penyakit baharu belum dikenal pasti di DR Congo
Dua kluster kes dan kematian berkaitan penyakit tidak dikenal pasti itu telah dikesan di dua zon kesihatan di Wilayah Equateur, DR Congo.

ACLE: Ini sebab Shandong Taishan tarik diri walau layak ke pusingan 16
Keputusan dibuat disebabkan ketidakselesaan fizikal yang serius membabitkan pemain-pemain dan selepas penilaian dibuat oleh pasukan perubatan.

Shandong Taishan tarik diri saingan ACL Elite, laluan JDT masih samar
Shandong Taishan FC memutuskan untuk tidak menyertai perlawanan Peringkat Liga Zon Timur menentang Ulsan HD FC dari Korea Selatan semalam.

Melaka perhebat program gotong-royong hapus Aedes
Usaha itu selaras dengan komitmen berterusan Jabatan Kesihatan Negeri dalam memusnahkan tempat pembiakan yang boleh merisikokan penduduk.

WHO lancar kempen vaksinasi polio besar-besaran di Gaza Sabtu ini
Kempen vaksinasi polio besar-besaran dirancang bermula di #Gaza Sabtu ini (22 Februari), dengan sasaran lebih 591,000 kanak-kanak berumur bawah 10 tahun.

Rusia buka kedutaan di tujuh negara Afrika menjelang 2026
Menjelang 2026, Rusia berhasrat untuk membuka kedutaan di Gambia, Liberia, Comoros, Niger, Sierra Leone, Togo dan Sudan Selatan.

Datuk Ramlan Ibrahim dilantik KSU Kementerian Luar
Datuk Ramlan Ibrahim dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar mulai 1 Jan, demikian diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Malaysia main peranan membina sebagai anggota tidak tetap UNSC
Malaysia telah memainkan peranan membina dalam Majlis Keselamatan apabila ia melibatkan isu-isu penting dunia.