Anwar berkata amanah itu digalas sebaiknya dalam setiap pertemuan dua hala dengan semua negara rakan ASEAN.
Ini ujarnya, bagi membolehkan mesej berkenaan isu kezaliman dan kekejaman rejim Zionis itu dapat disampaikan dengan jelas.
"Jadi, sebab itu (saya) ambil pendirian dan kita harus tegas dengan pendirian kita.
“Mustahil tidak faham, mustahil tidak dengar, anak-anak muda bangkit, rakyat bangkit berjuta-juta orang di kota besar menyatakan bahawa keganasan telah berlaku sejak 1947, 1948.
"Tetapi kita harus terus menggalas tugas ini, suarakan aspirasi hak rakyat Palestin secara adil, malah kita tidak setuju keganasan," katanya.
Anwar berkata demikian menerusi sidang media bersama media Malaysia pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di sini, pada Jumaat.
Malaysia pada masa sama jelasnya, mengulangi desakan agar tiada pengecualian diberikan terhadap mana-mana pihak yang bertindak melakukan pelanggaran hukum dan undang-undang antarabangsa.
“Ini penting kerana kita sebut (dengan) tegas, berdepan dengan semua kumpulan negara yang hadir termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Anthony Blinken.
"Kita tekankan tidak harus ada pengecualian terhadap mana-mana pelanggaran hukum antarabangsa terhadap mana-mana negara seperti berlaku sekarang seperti bertindak sewenang-wenangnya.
"Ini termasuk kutukan Israel terhadap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyebabkan keganasan dan pengeboman yang menyebabkan lebih 200 anggotanya juga turut dikorban, selain 40,000 dari Gaza dan kini Lubnan,” ujarnya lagi.