Malaysia akan menjadi satu daripada pengerusi bersama Mesyuarat Formula Arria Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai 'Penempatan Haram Israel: Halangan untuk Keamanan dan Penyelesaian Dua Negara', pada 14 Okt di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pengerusi bersama yang lain ialah Mesir, Senegal, Angola dan Venezuela.

Mesyuarat itu akan merangkumi pembentangan oleh Lior Amihai dari Peace Now, Hagai El-Ad dari B'Tselem dan Francois Dubuisson dari Universite Libre de Bruxelles.

Formula Arria yang dinamakan sempena nama Duta Venezuela, Diego Arria yang mempelopori mesyuarat itu merupakan pertemuan tidak rasmi yang memberi kelonggaran kepada UNSC untuk diberi taklimat mengenai isu keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Pertemuan yang kerap diadakan itu dilihat semakin penting sejak ia mula dilaksanakan pada Mac 1992.

Mesyuarat kali ini akan memberi tumpuan kepada pelbagai isu yang berpunca daripada atau disebabkan oleh aktiviti penempatan oleh Israel, serta akan turut menawarkan cadangan untuk menghentikan penempatan dan mencari jalan penyelesaian buat Israel dan Palestin.

Menurut 'nota konsep' yang disediakan lima negara terbabit, perkembangan penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin dan prospek untuk merealisasikannya, terjejas dengan serius oleh kehadiran dan pertumbuhan penempatan haram Israel di tanah Palestin yang diduduki Israel sejak Jun 1967.

Tanah itu, merangkumi Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis Timur dan Semenanjung Gaza, telah lama diiktiraf oleh PBB sebagai wilayah yang diduduki.

Bilangan penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki terus meningkat dan telah melepasi setengah juta orang.

Nota itu turut menyatakan masyarakat antarabangsa perlu bergerak melangkaui kutukan terhadap penempatan itu dan meluahkan kebimbangan mengenai penyelesaian dua negara yang semakin terhapus, sekiranya mereka ingin menyelamatkan dan menyelesaikan konflik sekian lama itu dengan adil, berkekalan dan kaedah yang komprehensif. -- BERNAMA