KAHERAH: Majlis Hukama' Al-Muslimin yang dipengerusikan oleh Imam Besar Al-Azhar Al-Sharif (Sheikh Al-Azhar) Prof Dr Ahmed Al-Tayeb menyambut baik perjanjian gencatan senjata di Lubnan dan menegaskan sokongannya terhadap semua usaha serantau serta antarabangsa ke arah mencapai keamanan dan kestabilan di rantau itu.

Agensi Berita Emirates (WAM) melaporkan, Majlis Hukama' Al-Muslimin dalam satu kenyataan menyatakan harapannya agar perjanjian itu menjadi permulaan kepada kestabilan berkekalan di Lubnan, memelihara kedaulatan dan integriti wilayahnya serta mengukuhkan keselamatan dan kestabilan negara berkenaan.

Majlis itu turut menyeru semua pihak yang aktif untuk mengambil langkah serupa dan menggiatkan usaha bagi mencapai persetujuan gencatan senjata yang mendesak dan berkekalan di Semenanjung Gaza.

Perjanjian sedemikian akan memastikan penghantaran bantuan kecemasan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang sedang menghadapi keadaan kemanusiaan yang teruk.

Majlis Hukama' Al-Muslimin juga memperbaharui seruannya kepada masyarakat antarabangsa untuk memikul tanggungjawabnya dan berusaha ke arah penyelesaian yang adil dan menyeluruh kepada isu Palestin.

Majlis itu menegaskan kepentingan menghentikan penderitaan rakyat Palestin yang telah berlarutan selama lebih 70 tahun serta menegaskan semula hak sah mereka untuk menubuhkan sebuah negara merdeka dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negaranya.

-- BERNAMA