Jabatan Polis Daerah Halton (HRPD) dalam satu kenyataan di akaun Twitter rasmi memaklumkan, kejadian berlaku pada 4 petang waktu tempatan Rabu lepas.
"Anggota polis trafik yang bertugas menahan seorang lelaki kerana dipercayai menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
"Apabila individu itu ditahan, anggota tersebut terkejut apabila apa yang disangkakan telefon bimbit, sebenarnya seruling," katanya.
Jurucakap HRPD memberitahu CCTV News, individu itu dikesan bermain seruling itu ketika menunggu di lampu merah isyarat trafik dan dia terus memainkannya selepas lampu bertukar ke hijau.
Pemandu di Ontario dilarang menggunakan telefon bimbit serta pelbagai gajet lain termasuk GPS ketika memandu atau berhenti di lampu isyarat, menurut laman web pihak berkuasa.
Namun penggunaan alat yang menggunakan Bluetooth dibenarkan.