KUALA LUMPUR: Bapa kepada bayi lelaki yang mayatnya 'disimpan' di sebuah hospital swasta memberi masa sehingga 12 tengah malam Khamis kepada netizen yang memfitnah di media sosial supaya menarik balik kenyataan mereka. 

Peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili bapa bayi itu, Safwan Roshdy berkata, kegagalan berbuat demikian, mereka bakal berdepan dengan tindakan saman.

Menurutnya, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pemilik akaun media sosial yang melemparkan fitnah terhadap anak guamnya termasuk dakwaan tidak berkahwin.

Beliau menjelaskan, semakan status sijil perkahwinan anak guamnya itu dengan  Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (Jaips) mendapati sijil itu sah.

"Kami beri tiga jam (sehingga 12 tengah malam ini) untuk padamkan hantaran atau komen (fitnah).

"Jangan buat andaian jumud. Kami sudah kenal pasti (netizen) sama ada yang buat siaran langsung TikTok dan sebagainya," katanya dalam siaran langsung TikTok di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Ahmad Zaharil berkata, pihaknya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat sebelum tindakan undang-undang diambil ke atas hospital berkenaan berhubung kenyataan yang dikeluarkan.

Beliau berkata, tindakan saman sivil dan jenayah mungkin boleh diambil terhadap pihak hospital kerana kesalahan menyimpan jenazah bayi selama 16 hari disebabkan bapa tidak menjelaskan bil rawatan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya perlu mendapatkan siasatan lanjut oleh pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara itu.

Sementara itu, Safwan, 22, menyatakan kekecewaan dengan sesetengah pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan termasuk tidak berkahwin, selain turut mencaci dan mengutuknya.