Pengasas Singapura, Lee Kuan Yew, dipilih sebagai pemenang anumerta Anugerah 'The Straits Times Asian of the Year 2015'.

Para editor akhbar itu memilih Lee, yang meninggal dunia Mac tahun ini ketika berusia 91 tahun, daripada sekumpulan calon, sebagai pemenang edisi keempat anugerah itu.

Lee, yang menyandang jawatan perdana menteri republik ini selama 31 tahun, dihormati dan diiktiraf ramai sebagai arkitek bagi kemakmuran Singapura melalui kejayaan beliau mengubah negara pulau ini daripada sebuah bandar pelabuhan kepada hab global yang kaya raya.

Anugerah itu diberi kepada individu atau organisasi sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar mereka dalam menambah baik kehidupan rakyat di negara masing-masing atau di negara jiran.

Pemenang anugerah pertama anugerah yang diperkenalkan pada 2012 ini ialah Presiden Myanmar Thein Sein.

Pada 2013, ia dimenangi bersama Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe.

Tahun lepas, pemenangnya ialah Perdana Menteri India Narendra Modi.

Ucap jasa mengenai Lee sebagai pemenang anugerah itu, antara lain, berbunyi: "Tidak banyak warga Asia yang mempunyai kesan sehebat Lee. Pemergiannya mengingatkan tentang betapa besarnya peranan yang telah beliau mainkan dalam mengemudi dan membentuk Singapura moden.

Beliau seorang pemikir berwawasan jauh dan radikal, manakala pendapatnya dan dasarnya pula menjadi asas bagi segala pencapaian Singapura hari ini."

Ucap jasa itu seterusnya menukilkan bahawa perkara yang menjadi asas utama dasar Lee adalah kerajaan yang bersih serta tadbir urus yang baik dan keyakinan beliau kepada kebolehan sebuah masyarakat pelbagai kaum dan agama serta yang dibina berasaskan meritokrasi.

Warren Fernandez, editor The Straits Times dan pengerusi lembaga pengarang yang membuat pemilihan penerima anugerah itu berkata: "Hanya segelintir manusia di Asia yang berjaya mempengaruhi negara dan jiran mereka seperti yang dicapai Lee ketika beliau menjadi pemimpin negara dan negarawan antarabangsa.

"Banyak pemimpin dunia serta ahli akademik dan pengulas terkemuka memuji cara Lee membentuk pemikiran mereka tentang isu tertentu serta membantu mereka lebih memahami Asia dan dunia. Ini mencerminkan kejayaan yang dicipta Lee untuk diri beliau dan Singapura," katanya.

Fernandez berkata idea dan prinsip Lee terus bertahan selepas sekian lama beliau berundur daripada jawatan dan mungkin terus bertahan hingga tahun-tahun akan datang.

"Ini boleh anda lihat daripada cara buku beliau terus dibeli dan dikaji di seluruh dunia," katanya.