WASHINGTON: Hampir 30 ancaman bom palsu menyasarkan lokasi berkaitan pilihan raya di seluruh Amerika Syarikat, lapor Agensi Anadolu memetik sumber laporan pada Selasa.

CBS News melaporkan berita berkenaan dengan memetik dua sumber yang mempunyai pengetahuan tentang hal itu.

Menurut laporan itu, kira-kira 17 ancaman bom palsu disasarkan ke negeri Georgia.

Pegawai kini berusaha untuk mengesan punca ancaman palsu, yang dipercayai sebagai sebahagian daripada usaha asing untuk mengganggu proses pilihan raya.

Menurut sumber, ancaman palsu ini sedang dikesan di Georgia, Arizona, Michigan dan Wisconsin.

Berita ini muncul beberapa jam selepas Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengumumkan bahawa mereka "sedar" akan ancaman bom yang disasarkan ke lokasi pengundian di beberapa negeri.

"Setakat ini, tiada satu pun daripada ancaman itu dianggap sebagai ancaman yang sahih," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Setiausaha Negara Georgia, Brad Raffensperger, menyatakan bahawa ancaman bom palsu dibuat terhadap dua lokasi pengundian di Fulton County.

Menurut laporan media, ancaman yang menyasarkan lima pusat pengundian ini menyebabkan dua lokasi pengundian terpaksa dikosongkan buat sementara waktu pada awal Selasa.

Jutaan rakyat Amerika keluar mengundi pada Selasa untuk memilih presiden AS ke-47, dengan bekas Presiden Donald Trump menentang pencabarnya dari Demokrat, Naib Presiden Kamala Harris.

-- BERNAMA