Menurut Anadolu Ajansi, dua bot yang membawa migran itu terbalik pada Khamis di luar pantai daerah Dhubab di wilayah Ta'iz, lapor IOM.
Bot itu cuba melakukan pelayaran berbahaya dari Tanduk Afrika sebelum tenggelam dalam keadaan laut bergelora.
"Kejadian kapal karam ini menjadi peringatan tentang bahaya besar yang dihadapi migran dalam mencari masa depan yang lebih baik," kata Ketua Misi IOM di Yaman Abdusattor Esoev.
Beliau menegaskan terdapat keperluan mendesak untuk perlindungan mencukupi dan alternatif selamat bagi migran kerana tanpa tindakan segera, lebih banyak nyawa mungkin terkorban.
IOM melaporkan bahawa seramai 124 lelaki dan 57 wanita berada di atas bot itu.
Dua kru warga Yaman berjaya diselamatkan, namun semua penumpang dan kru selebihnya dikhuatiri maut, dengan tiada mayat ditemukan setakat ini.
Kejadian itu berlaku selepas penyeludup mengabaikan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dan Meteorologi Yaman, yang menasihatkan supaya tidak melakukan pelayaran berikutan angin kencang dan ombak tinggi.
Migran yang tiba di Pusat Tindak Balas Migran di Yaman melaporkan bahawa penyeludup semakin cuai, menghantar bot ke dalam keadaan berbahaya bagi mengelak rondaan pihak berkuasa.
Walaupun berdepan risiko besar, ribuan migran masih meneruskan pelayaran berbahaya itu pada setiap tahun, kata IOM.
Sejak awal 2024, lebih 60,000 migran telah tiba di Yaman.
Sejak 2014, Projek Migran Hilang IOM telah merekodkan lebih 3,400 kematian dan kehilangan di sepanjang laluan timur, termasuk lebih 580 wanita dan 100 kanak-kanak.
Daripada jumlah itu, 1,400 kematian berpunca daripada kejadian lemas.
-- BERNAMA
