AGENSI Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) berkata pasukan perubatannya telah memberikan vaksin kepada lebih 160,000 kanak-kanak pada Khamis, hari pertama fasa kedua kempen pemvaksinan polio di selatan Gaza.

"Ribuan keluarga telah mengunjungi kemudahan kesihatan untuk mendapatkan vaksin daripada pasukan perubatan UNRWA.

"Hari ini (Jumaat), kami akan terus memberikan vaksin kepada sebanyak mungkin kanak-kanak," kata agensi PBB itu di platform X, pada Jumaat.

UNRWA memaklumkan bahawa fasa kedua kempen pemvaksinan polio bermula di Khan Younis pada Khamis, susulan kejayaan fasa pertama di kawasan tengah Gaza.

Sepanjang empat hari akan datang, petugas kesihatan menyasarkan sekitar 340,000 kanak-kanak di selatan Gaza. Sebanyak 517 pasukan akan dihantar termasuk 384 pasukan bergerak, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Agensi PBB itu dan rakan kongsinya memberikan dos pertama vaksin polio kepada kanak-kanak di bawah umur 10 tahun di Pusat Kesihatan Jepun di Khan Younis.

"Pada masa kritikal ini, jeda kawasan perlu dihormati untuk melindungi keluarga dan petugas kemanusiaan," katanya di platform X.

Dalam fasa pertama dari 1 hingga 3 September, petugas kesihatan berjaya memberikan vaksin kepada lebih 187,000 kanak-kanak di kawasan tengah Gaza, melebihi sasaran awal 157,000 orang.

Fasa ketiga dan terakhir akan dilaksanakan di utara Gaza dari 9 hingga 11 September, menyasarkan sekitar 150,000 kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Kempen keseluruhan ini bertujuan untuk memberikan dua titisan vaksin polio secara oral jenis 2 kepada lebih 640,000 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dalam setiap pusingan.

Ia adalah sebahagian daripada tindak balas segera untuk mencegah penularan polio yang muncul kembali di Gaza selepas 25 tahun, susulan pengesanan virus polio varian jenis 2 (cVDPV2) dalam enam sampel persekitaran yang dikumpulkan dari kawasan tengah Gaza pada bulan Jun, lapor UN News.

Kempen ini dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Palestin dengan kerjasama WHO, UNRWA, Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan rakan kemanusiaan yang lain.

Pada 16 Ogos, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menggesa gencatan senjata selama seminggu di Gaza bagi membolehkan pemberian vaksin mencegah wabak polio.

--BERNAMA