Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa vaksin itu akan diedarkan secara strategik di Negeri Upper Nile dan lokasi keutamaan lain, menurut laporan Xinhua.
"Pencegahan kolera menjadi keutamaan di kawasan sasaran untuk intervensi pelbagai sektor," kata Menteri Kesihatan Yolanda Awel Deng dalam kenyataan yang dikeluarkan di Juba, ibu negara Sudan Selatan.
Beliau berkata kempen ini bertujuan melindungi golongan rentan dan menjadi asas kepada pelaksanaan intervensi air, sanitasi dan kebersihan yang lebih mampan.
Vaksin itu akan digunakan untuk melaksanakan kempen vaksinasi dua dos secara besar-besaran di Daerah Renk dan Malakal di Negeri Upper Nile.
Dalam beberapa hari akan datang, katanya dos tambahan akan dihantar bagi menyokong usaha tindak balas di lokasi lain yang turut terjejas. Kempen vaksinasi ini bertujuan mengurangkan wabak kolera di kawasan terbabit.
Menurut wakil WHO di Sudan Selatan, Humphrey Karamagi, kolera adalah endemik di negara ini.
"Intervensi strategik termasuk kempen OCV di kawasan berisiko, latihan pasukan tindak balas pantas peringkat negeri, serta pengaturan kedudukan dan pembekalan kit ujian diagnostik serta bekalan penting untuk pengurusan pesakit. Langkah-langkah ini telah meningkatkan pemantauan dan membolehkan tindak balas segera terhadap kes yang disyaki dan disahkan," katanya.
WHO turut memaklumkan bahawa kolera terus menjadi cabaran kesihatan awam utama di Sudan Selatan, ia menjadi bertambah teruk oleh krisis kemanusiaan yang terutamanya memberi kesan kepada kanak-kanak, wanita dan kumpulan rentan lain.
-- BERNAMA