PUTRAJAYA: Penganjuran Festival Light and Motion Putrajaya 2024 (LAMPU2024) membawa banyak perbezaan berbanding tahun-tahun sebelum ini.


Ringkasan AI
  • Festival Light and Motion Putrajaya 2024 (LAMPU2024) menampilkan konsep futuristik dan teknologi, termasuk pembentangan cahaya di hadapan Istana Kehakiman menggunakan teknologi dari Itali.
  • LAMPU2024 bertemakan -Menerangi Masa Depan- dan membawa aspirasi visi CHASE City, yang merangkumi Clean City, Healthy City, Advanced City, Safe City, dan Eco-Friendly City.
  • Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, menyatakan komitmen untuk terus maju ke hadapan pada tahun 2025, dengan melihat semula pencapaian tahun 2024 dan menetapkan keutamaan baru.


Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa berkata, LAMPU2024 kali ini menampilkan kelainan iaitu menekankan konsep futuristik serta teknologi.

“Seperti yang kita sedia tahu, LAMPU2024 bersekali dengan sambutan tahun baru 2025, jadi alhamdulillah pada kali ini, ada banyak perbezaaan daripada sambutan-sambutan festival light sebelum ini.

“Satu yang saya rasa kali pertama kita laksanakan ialah pembentangan cahaya yang mana kita mempamerkan di hadapan facade Istana Kehakiman dengan pelbagai corak pencahayaan menggunakan teknologi dari Itali.”

Dr Zaliha berkata demikian kepada Astro AWANI semasa sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 di Dataran Putrajaya, Presint 3, di sini, malam tadi.

LAMPU2024 dibawakan dengan tema “Menerangi Masa Depan” melalui konsep futuristik, sekali gus membawa aspirasi visi CHASE City.

CHASE City merupakan akronim bagi Clean City, Healthy City, Advanced City, Safe City dan Eco-Friendly City yang mana visi ini dibangunkan untuk membina Wilayah Persekutuan sebagai sebuah bandar yang membangun dalam gabungan kemajuan teknologi dengan kemampanan dan kelestarian alam sekitar.

Bertanyakan hasrat dan azam beliau pada tahun 2025, Dr Zaliha berkata akan kekal komited dan terus maju ke hadapan untuk melaksanakan tugasnya yang belum tercapai.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat, terutamanya kepada para pemimpin, agensi di bawah Jabatan Kementerian Wilayah Persekutuan kerana apa yang kita laksanakan pada tahun 2024, (kita) perlu bangga atas kejayaan itu.

“Tetapi, walau bagaimanapun, sudah tentu ada beberapa perkara yang belum tercapai.

"Insya-Allah, kita akan terus bawa ke hadapan pada tahun 2025 dan insya-Allah bagi pihak kami, akan melihat semula pencapaian pada tahun 2024 dan kemudiannya melihat apa keutamaan yang kita akan letakkan pada tahun 2025 ini,” jelasnya lagi.