Kumpulan penyanyi wanita berhijab dari Malaysia, Nama, yang berjaya ke pusingan akhir rancangan Asia’s Got Talent musim ketiga (AGT3) sedia menjadi ‘trendsetter’ dalam industri hiburan di rantau ini, kata juri program realiti antarabangsa itu.

“(Kumpulan) ini saya fikir penting untuk dunia melihat tempat gadis moden yang juga orang Islam,” kata David Foster, seorang daripada tiga juri program itu dalam satu temu bual dengan Bernama dan dua media Singapura di sini.

Empat sekawan iaitu Nur Fazrina Mohd Ani, 28, Noor Syamimi Makhetar, 24, Norfazira Malik, 24, dan Nur Farahida Dolhadi, 24, merupakan satu daripada tiga persembahan yang terpilih menerusi Pilihan Juri sekali gus melangkau undian dalam talian untuk ke pentas final.

Foster, pemuzik dan penerbit dari Kanada itu kagum dengan konsep dibawa Nama yang walaupun mereka berhijab tetapi tidak menghalang mereka untuk membuat persembahan menghiburkan di atas pentas.

“Saya mencadangkan kepada seseorang di LA (Los Angeles). Saya curi sedikit idea mereka sedang membuat TV perintis mengenai (program) seorang wanita.

"Saya katakan kita harus menjadikan seorang daripada mereka dalam kumpulan Muslim ini. Ia akan menjadi sesuatu yang menarik untuk TV Amerika. Dia normal, dia hebat, dia masih boleh berseronok… dia penyanyi yang hebat,” katanya.


Mengulas mengenai seorang lagi peserta dari Malaysia yang berjaya ke final, Yaashwin Sarawanan, Jay Park, penyanyi rap terkenal Amerika-Korea berkata remaja lelaki berusia 15 tahun itu ‘cukup unik’.

“Beliau berbakat dan sangat unik. Saya tidak pernah membayangkan dalam 1,000 tahun seorang lelaki menyelesaikan (masalah) Matematik dengan baik dan berjaya ke peringkat akhir. Ini agak gila,” katanya.

Yaashwin yang menganggap dirinya sebagai penghibur dan bukannya ‘manusia kalkulator’ seperti yang diperkatakan ramai, akan membuat persembahan terakhirnya di Marina Bay Sands di sini bersama Nama dan tujuh lagi finalis malam ini.

Finalis lain ialah Siti Saniyah (Indonesia), Maniac Family (Taiwan), Shadow Ace (Filipina), Junior Good Vibes (Filipina) dan Eric Chien (Taiwan).

Ditanya mengenai langkah seterusnya bagi pemenang selepas memenangi hadiah wang tunai AS$100,000 (RM408,000), seorang lagi juri Anggun Cipta Sasmi berkata Asia’s Got Talent menawarkan ‘platform bertaraf dunia’.

“Bagi saya, dunia menjadi semakin kecil. Sebab itu apabila anda menggunakan platform ini sebaiknya, anda boleh menjadi tular dan pergi ke mana-mana bahagian dunia yang anda mahu, dan ia semua bergantung kepada apa yang anda ingin lakukan.

“Hadiah AS$100,000 boleh jadi banyak atau sedikit, bergantung kepada apa yang anda mahu buat,” kata penyanyi antarabangsa berasal dari Indonesia itu.

Berkenaan harapan juri pada Asia’s Got Talent musim akan datang, Jay Park berkata: “Saya mahukan penyanyi rap yang bagus.”

“Belum ada lagi penyanyi rap yang melepasi uji bakat juri. Jika ada seorang pasti bagus. Ada ramai (penyanyi rap) yang sangat berbakat di Asia. Maksud saya walaupun di Malaysia, Singapura dan Thailand. Saya tidak tahu mengapa tidak ada seorang pun,” katanya.

Pusingan akhir Asia’s Got Talent akan bersiaran pada 8.30 malam ini di saluran AXN (Astro saluran 701) dan AXN HD (Astro saluran 721). - Bernama

BACA: Nama dalam misi tepis stereotaip wanita berhijab melalui Asia's Got Talent

BACA: Di sebalik Asia's Got Talent...