RIO GRANDE DO SUL: Seekor kuda yang terperangkap di atas bumbung akibat banjir di Canoas, selatan Brazil, diselamatkan pasukan gabungan bomba dan doktor haiwan pada Khamis.

Keberadaan kuda yang terperangkap sekurang-kurangnya 24 jam itu menjadi tular apabila imejnya yang berada di atas bumbung itu disebarkan.

Pada awalnya, sebuah helikopter dijangka digunakan untuk menyelamatkan kuda tersebut, tetapi kuda berkenaan kemudian dibawa ke darat dengan menggunakan bot.

Lebih 100 orang telah meninggal dunia dan sekurang-kurangnya 1.47 juta telah terjejas akibat banjir besar di negeri paling selatan Brazil, Rio Grande do Sul.

Salah satu bandar paling teruk dilanda, Canoas, menyaksikan empat kematian direkodkan.

Presiden Luiz Inacio Lula da Silva pada Rabu, ketika sebuah acara yang diadakan bersama pegawai kerajaan berkata, kerosakan hanya akan dapat dinilai apabila air mulai surut.