NEW YORK: Rusia telah menyerang 64 fasiliti kesihatan, pekerja kesihatan dan ambulans di Ukraine sejak 24 Februari.

Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric berkata, data berkenaan hasil cerapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Kita kini tahu bahawa lebih daripada 200,000 orang kekurangan akses kepada air di seluruh Wilayah Donetsk di timur negara itu.

"Menurut pihak berkuasa dan rakan kemanusiaan kami, lebih ramai orang boleh hadapi terputus bekalan air apabila pertempuran berterusan di kawasan itu, yang berpotensi meninggalkan berjuta-juta orang tidak mempunyai akses kepada air.

"Serangan terhadap fasiliti kesihatan berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa taklimat di ibu pejabat PBB di New York pada Rabu.

Data berkenaan dimaklumkan selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken mendakwa Rusia telah melakukan jenayah perang di Ukraine.

BACA: Krisis Rusia-Ukraine: AS tuduh Rusia lakukan jenayah perang