Persatuan Palang Merah Korea Selatan akui, reaksi balas seperti itu jarang berlaku di bawah pentadbiran Presiden Yoon Suk Yeol terhadap jirannya itu.
Mereka berkata, pihaknya bersedia untuk berbincang bagi menyalurkan skala dan bekalan bantuan yang diperlukan serta cara mengagihkannya.
Ketika ini mereka hanya menantikan respons pantas daripada Pyongyang.
Kenyataan itu dikeluarkan Kementerian Penyatuan Korea Selatan yang mengendalikan hal ehwal antara Korea.
Persatuan Palang Merah mendahului dalam melaksanakan projek antara dua negara itu pada masa lalu, termasuk pertemuan semula keluarga yang terpisah dan menyalur bekalan bantuan.
Hujan lebat melanda kawasan barat laut Korea Utara sejak beberapa hari lalu, membanjiri lebih 4,000 rumah di kawasan Sinuiju dan Uiju, lapor media Korea Utara.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un secara peribadi turun melawat kawasan banjir dan menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap kerosakan yang berlaku.
Wilayah berkenaan terjejas oleh hujan lebat kesan Ribut Tropika Gaemi sejak beberapa hari lalu, menyebabkan tanah runtuh yang membunuh 12 orang di selatan China.
Jurucakap kementerian itu menyatakan, terdapat kemungkinan ada mangsa terkorban dalam banjir di Korea Utara.
TV Chosun Korea Selatan melaporkan lebih 1,100 mangsa terjejas dan seramai 1,500 orang mati atau hilang.
Media Korea Utara pada Khamis melaporkan terdapat kerja sedang dijalankan di ibu negara untuk menghalang banjir Sungai Taedong yang mengalir melalui Pyongyang.
Tawaran bantuan itu datang selepas hubungan kedua-dua negara, yang secara teknikalnya kekal tegang, di tengah-tengah pendirian tegas terhadap Korea Utara oleh kerajaan Suk Yeol.
Sejak akhir Mei, ketegangan tercetus berhubung pelancaran belon oleh Korea Utara yang membawa sampah ke kawasan selatan, di mana Seoul bertindak balas dengan siaran propaganda di sempadan, sehingga menimbulkan kemarahan Korea Utara.
Tidak jelas sama ada Pyongyang akan menjawab tawaran itu atau bersetuju untuk mengadakan perbincangan, berikutan negara itu sudah memutuskan semua talian komunikasi rasmi dengan Korea Selatan.
Penilaian yang jelas mengenai kerosakan dan korban akibat bencana di Korea Utara juga sukar, kerana tiada pemantau kemanusiaan luar hadir ke kawasan terjejas.
Menurut Agensi Cuaca Korea Selatan, lebih banyak hujan diramalkan di Sinuiju pada awal Jumaat dan Sabtu.