MANILA: Angka kematian akibat banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh ribut tropika Yagi di Filipina meningkat kepada 14 orang, kata kerajaan pada Selasa, lapor Xinhua.

Edgar Posadas, jurucakap Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan, berkata 12 kematian dilaporkan di Pulau Luzon dan tengah Filipina.

Dua lagi kematian berlaku di wilayah, barat daya Manila, manakala empat orang masih hilang di wilayah, timur Manila.

Mangsa, termasuk seorang wanita hamil dan kanak-kanak, meninggal dunia akibat lemas, tanah runtuh, renjatan elektrik atau kemalangan lain akibat kesan ribut tropika.

Sejak hujung minggu, hujan lebat yang dicetuskan oleh Yagi dan monsun barat daya, menyebabkan banjir besar di ibu negara Filipina, Manila dan bahagian lain di kepulauan itu. Tanah runtuh meranapkan rumah dan menimbus kampung.

Menurut Agensi cuaca Filipina, ribut Yagi semakin meningkat pada Selasa, bertiup ke barat di wilayah Ilocos Norte di utara Filipina pada kelajuan 25km sejam, membawa angin 85km sejam dan tiupan sehingga 105km sejam.

Agensi itu memaklumkan Yagi dijangka meninggalkan Filipina pada pagi Rabu, Yagi diramal akan meningkat sepanjang tempoh ramalan dan mungkin mencapai kategori ribut tropika teruk dalam tempoh 12 jam akan datang dan kategori taufan pada Khamis.

Kira-kira 20 taufan melanda Filipina setiap tahun.

-- BERNAMA