NAIROBI: Angka korban akibat banjir yang dicetuskan oleh fenomena El Nino di Kenya meningkat kepada 136 orang, kata pihak berkuasa pada Khamis.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, lebih 92,400 isi rumah dan 462,100 penduduk terjejas, lapor Agensi Anadolu.

Ketua Setiausaha kementerian Raymond Omollo berkata kerajaan sedang berusaha untuk mengagihkan bantuan makanan kepada komuniti yang terjejas.

"Dalam tempoh 24 jam yang lalu sebanyak 16 kematian dilaporkan, meningkatkan jumlah korban kepada 136 orang. Usaha untuk mengagihkan makanan masih berjalan di seluruh wilayah yang terjejas, termasuk penghantaran makanan menggunakan pengangkutan udara ke kawasan yang tidak dapat diakses," kata Omollo.

Banjir itu turut menjejaskan ternakan dengan sekurang-kurangnya 2,500 ternakan mati dalam tempoh 24 jam.

Hujan berterusan telah mencetuskan banjir, tanah runtuh dan banjir lumpur di seluruh Kenya.

Selain Kenya, turut terjejas akibat hujan lebat ialah Somalia dan Ethiopia, menyebabkan kematian ratusan orang, perpindahan besar-besaran dan kemusnahan infrastruktur penting.

-- BERNAMA