ISLAMABAD: Pakistan akan melancarkan kempen vaksinasi kecemasan minggu depan selepas pengesanan kes polio pertama di ibu negara itu dalam tempoh 16 tahun, lapor Agensi Berita Jerman dpa.

Kes itu berlaku di tengah-tengah kebangkitan semula polio di bahagian lain di negara itu, pegawai mengumumkan pada Sabtu.

Lebih 33 juta kanak-kanak di bawah umur 5 tahun akan divaksin dalam program dari rumah ke rumah mulai Isnin, kata ketua polio Ayesha Raza, ketika jumlah kes baharu tahun ini meningkat kepada 17.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun dari kawasan kejiranan luar bandar di ibu negara Islamabad lumpuh akibat virus polio liar, kata Anwarul Haq, penyelaras kebangsaan Pakistan untuk penyakit itu.

Wilayah barat daya Balochistan yang bersempadan dengan Afghanistan dan Iran menjadi wilayah yang paling teruk terjejas tahun ini dengan 12 kes baharu, data kebangsaan menunjukkan.

Penyebaran virus ke rantau yang sebelum ini diisytiharkan bebas polio menimbulkan cabaran baharu bagi program pembasmian yang dibiayai bersama PBB dan Yayasan Gates.

Kes polio di Pakistan memuncak 147 kes pada 2019 tetapi menurun kepada hanya enam kes, tahun lepas.

Pakistan menjalankan kempen imunisasi berkala, tetapi kempen itu sering disasarkan oleh militan Islam.

Militan dan beberapa ulama Islam melihat kempen vaksinasi polio sebagai muslihat Barat untuk memandulkan umat Islam.

-- BERNAMA