Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Syahrir Azfar Saleh menzahirkan kesedihan yang mendalam atas kehilangan nyawa mereka yang tidak bersalah dalam pengeboman itu. Insiden berkenaan meragut nyawa sekurang-kurangnya 26 orang dan mencederakan ramai yang lain.
"Tindakan keganasan ini adalah tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh diterima.
"Tiada alasan yang boleh membenarkan serangan kejam terhadap mana-mana individu, terutamanya yang melibatkan wanita dan kanak-kanak. Keganasan hanya akan menghasilkan lebih banyak ketegangan dan penderitaan, yang bertentangan dengan prinsip keamanan dan keharmonian sejagat," katanya.
Syahrir berkata, GPM mengecam sebarang bentuk keganasan yang menyasarkan orang awam dan menyeru semua pihak yang terlibat untuk menghentikan tindakan ganas berkenaan dan mencari penyelesaian secara aman.
"GPM berdiri bersama-sama rakyat Pakistan menghadapi tragedi memilukan ini dan komited untuk menyokong semua usaha untuk memulihkan keamanan dan keselamatan. Semoga roh mangsa tenang di sisi-Nya, dan semoga mereka yang tercedera akan segera mendapat rawatan dan pulih seperti sediakala," katanya.
Menurut laporan media antarabangsa, sekurang-kurangnya 24 orang maut manakala lebih 40 lagi cedera dalam letupan bom di stesen kereta api di Quetta yang terletak di barat daya Pakistan pada Sabtu.
Pakistan kini bergelut dengan serangan yang semakin meningkat oleh puak pemisah etnik dan militan Islam di wilayah Balochistan di barat laut. - BERNAMA